Elak beri salam kepada orang yang sedang makan
KETIKA sedang menikmati makanan, ada orang datang menyapa dan memberi salam. Dalam keadaan mulut yang penuh, sukar untuk menjawabnya.
Apabila selesai kunyahan makanan tadi, barulah kita menjawab salam tersebut. Agak lewat pula untuk membalasnya.
Ketahuilah bahawa kita sebenarnya tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang yang sedang makan.
Bahkan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, makruh untuk kita memulakannya.
Beliau kemudian mengemukakan pandangan kitab Kassyaf al-Qina’ yang menukilkan bahawa dihukumkan makruh untuk memberi salam kepada orang yang sedang makan atau berperang kerana mereka sedang sibuk dengan urusan berkenaan.
“Fakta sama turut dinyatakan dalam kitab Asna al-Matalib bahawa tidak dianjurkan (sunat) untuk memberi salam kepada orang yangs edang makan, terutamanya ketika dia sedang mengunyah makanan.
“Ia sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Azkar. Sementelah, memberi salam kepada orang yang sedang minum pula adalah sama hukumnya seperti orang yang sedang makan sepertimana dinyatakan dalam al-Ta’liqah,” katanya dalam Maktabah Albakri.
Dari segi menjawab salam ketika makan pula, para ulama berbeza pandangan tentangnya.
Bagaimanapun, andai ada orang memberi salam kepada mereka, Dr Zulkifli yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat, wajib orang yang sedang makan tersebut menjawabnya.
“Tidak ada masalah untuk melewatkan sedikit bagi menjawab salam tadi jika dalam mulut masih ada makanan atau sedang mengunyah.
“Selepas makanan sudah ditelan atau menyelesaikan urusan makan atau kunyahan tadi, barulah mereka menjawab salam tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!