Pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang atasi peringkat nasional

Pelabuhan Swettenham Pier, George Town, Pulau Pinang - Foto 123RF
Pelabuhan Swettenham Pier, George Town, Pulau Pinang - Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Ekonomi Pulau Pinang meningkat sebanyak 13.1 peratus pada tahun lalu berbanding 6.9 peratus pada tahun 2021.

Peningkatan itu menyaksikan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Pulau Pinang adalah RM112.1 bilion pada 2022 berbanding RM99 bilion pada 2021.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pertumbuhan itu melebihi pertumbuhan nasional iaitu 8.7 peratus.

Menurutnya, sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar terhadap KDNK Pulau Pinang bagi tahun 2022 dengan 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, mengekalkan pertumbuhan dua angka iaitu 15.9 peratus.

"Pada tahun 2021, sektor pembuatan telah menyumbang sebanyak 47.3 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 12.4 peratus, disokong oleh pembuatan produk elektrik, elektronik dan optikal.

"Sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 46.7 peratus pada tahun 2022 berbanding 47.5 peratus pada tahun sebelumnya.

"Sektor ini juga mencatatkan pertumbuhan dua angka, 11.3 peratus berbanding 2.1 peratus pada tahun 2021.

"Ini disokong dengan lonjakan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta utiliti, pengangkutan, maklumat dan komunikasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Boon Heng (PKR-Kebun Bunga) berhubung pemulihan ekonomi Pulau Pinang selepas 'post-pandemic' di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.

Beliau menambah, sektor pembinaan pula merupakan penyumbang ketiga tertinggi kepada ekonomi Pulau Pinang yang mana, ia terus kekal positif dengan pertumbuhan sebanyak 7.9 peratus.

"Sektor pertanian turut berkembang bagi tahun 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.

"Sektor perlombongan dan pengkuarian telah pulih kepada 7.9 peratus berbanding penyusutan 6.6 peratus pada tahun 2021.

"Secara keseluruhannya, ekonomi Pulau Pinang menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada ekonomi Malaysia.

"Sumbangan ini meningkat 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 7.1 peratus dan ia kekal di kedudukan kelima kepada ekonomi negara," kata Kon Yeow lagi.

Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk melaksanakan pemulihan ekonomi selepas pandemik dengan memberi penekanan kepada inisiatif-inisiatif yang selaras dengan Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

"Antara inisiatif tersebut ialah Program Peningkatan Ekonomi Golongan Miskin/Pembangunan Industri Desa-Bantuan Peralatan, dengan pemberian sebanyak RM50,000 bagi setiap daerah, Program Pembangunan Modal Insan Kepada Golongan Miskin dengan pemberian sebanyak RM40,000 bagi setiap daerah.

"Selain itu, kita menyediakan bantuan benih kerang, Program 'Farmer to Farmer', Pembangunan Modal Insan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan beberapa lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!