21,200 saman, 109 tangkapan dalam Op Perdagangan

Razarudin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota JSPT di Bukit Aman.
Razarudin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota JSPT di Bukit Aman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan sebanyak 21,200 saman dengan 109 tangkapan melalui Op Perdagangan sejak 20 September hingga 14 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah tersebut daripada 135,193 kenderaan yang diperiksa JSPT dalam tempoh terbabit.

"Kita memandang serius terhadap kes kemalangan melibatkan kenderaan berat antaranya lori dan bas yang mengorbankan nyawa orang ramai yang tidak bersalah," katanya dalam Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada Khamis.

Razarudin berkata, JSPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Op Perdagangan secara berterusan ke atas kenderaan berat bagi memastikan pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan, mematuhi peraturan jalan raya.

"Sebanyak 1,078 operasi dilaksanakan sejak Januari hingga November ini berbanding 797 operasi untuk tempoh sama tahun lalu.

"Menerusi operasi ini, pelbagai kesalahan dikesan seperti membawa muatan berlebihan dan keadaan fizikal kenderaan tidak memuaskan, yang boleh menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada JSPT atas beberapa kejayaan diperolehi.

Razarudin (tiga kiri) hadir pada Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada Khamis.
Razarudin (tiga kiri) hadir pada Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan yang telah dicapai oleh JSPT antaranya memenangi dalam kategori Penambahbaikan di Majlis Persada Inovasi Peringkat PDRM 2023.

"JSPT turut meraih tempat pertama bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam pertandingan inovasi Kementerian Dalam Negeri menerusi aplikasi MyBayar PDRM," katanya.

Menurutnya, selain itu, JSPT berjaya melaksanakan pembekalan dokumen kemalangan meliputi keputusan kes, rajah kasar dan gambar yang boleh diakses oleh pengadu melalui aplikasi tersebut.

“Aplikasi ini juga memudahkan pengadu membuat tuntutan pembayaran dengan pihak insurans" katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JSPT kerana banyak melakukan tugas di luar skop masing-masing.

“Banyak berita dan gambar dikongsi pengguna media sosial bagaimana anggota membantu pengguna jalan raya termasuklah membersihkan longkang tersumbat,” katanya.

Razarudin berkata, setiap anggota JSPT melakukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan ganjaran.

"Saya juga ingin mengingatkan warga pasukan polis bahawa segala tindak tanduk kita sama ada yang baik atau sebaliknya, sentiasa berada dalam radar pemerhatian masyarakat.

"Kita perlu tanamkan sikap bertanggungjawab berintegriti di tahap yang baik bagi dalam keadaan apa jua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!