Pengarah urusan didakwa kemuka tuntutan palsu Penjana Kerjaya

Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika keluar selepas selesai sebutan kesnya dalam Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika keluar selepas selesai sebutan kesnya dalam Mahkamah Sesyen pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 14 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu insentif Program Penjana Kerjaya 2.0, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM152,200 dua tahun lalu.

Tertuduh, M Sentil Kumar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dikemukakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan palsu dengan menyerahkan borang pengesahan pengambilan pekerja sedangkan daripada senarai nama yang dikemukakan terdapat individu bukan pekerja di syarikat terbabit.

Tertuduh didakwa menuntut insentif berjumlah RM3,500 hingga RM31,600 itu di Wisma PERKESO dekat sini antara 27 Mei hingga 24 Jun 2021.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan bagi semua kes dihadapi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun dia juga mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan pilihan dikemukakan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM55,000 bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam T Vijaya Sandran yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan ke atas anak guamnya dikurangkan.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan kepada tertuduh berserta syarat tambahan sebelum menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Untuk rekod, tertuduh pernah didakwa di Mahkamah itu pada 24 Oktober lalu dan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 PERKESO berjumlah RM59,560.