Arsenal patut boleh menang di Bournemouth
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan para pemain The Gunners mampu mengatasi Bournemouth pada perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 bagi kedua-dua pasukan.
Menurut bekas penolong pengurus di Manchester City itu, beliau yakin tiga mata boleh dibawa pulang melihat kepada deretan peluang diperoleh Arsenal, namun pada satu sudut menyifatkan keputusan itu petanda positif.
"Saya tidak gembira kerana kami tidak menang pada perlawanan yang sepatutnya boleh dimenangi Arsenal.
"Biarpun begitu banyak elemen positif yang saya lihat pada perlawanan ini apabila banyak yang dirancang pada sesi latihan dipraktikan para pemain, " kata pengendali berusia 37 tahun itu.
The Gunners bertandang ke Stadium Vitality terlebih dulu ketinggalan pada babak pertama hasil jaringan Dan Gosling.
Namun kelab London yang tidak mengalah kembali menyamakan kedudukan pada babak kedua hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal kekal di kedudukan kesebelas liga dengan 24 mata selepas mengharungi 19 perlawanan - lapan mata terpisah dari Chelsea yang berada kelompok empat terbaik.
Pada masa sama pengendali dari Sepanyol itu, mengakui komitmen, disiplin dan komitmen dalam kalangan pemain The Gunners cukup amat membanggakan.
"Para pemain mempamerkan karakter yang positif pada perlawanan ini apabila tidak mudah berputus asa untuk kembali bangkit menyaingi lawan.
"Secara jujur saya masih mempelajari banyak perkara mengenai para pemain Arsenal, bagaimana untuk membentuk kembali karakter pemain.
"Biarpun begitu saya akui perkara ini mengambil masa kerana baru tiga hari, namun saya akan tetap berusaha memantapkan kelab ini kerana sebahagian mereka beraksi baik hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!