PRK Kemaman: Pujuk warga emas sokong Pas - Hadi Awang

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

KEMAMAN - Pas perlu bekerja lebih keras dalam memujuk warga emas yang masih lagi bersama Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya yang lalu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kebanyakan daripada mereka berbuat demikian kerana sudah selesa dengan kehidupan sekarang berbanding ketika zaman pemerintahan Jepun dahulu.

"Alhamdulillah, dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) dan PRU (Pilihan Raya Umum Ke-15) baru-baru ini, gelombang orang muda berlaku. Orang muda berumur 21 hingga 40 tahun majoritinya sokong kita.

“Tinggal lagi, orang tua-tua, mereka yang berumur antara 60 hingga 70 tahun ini. Bila kita ajak mengundi (Pas), mereka kata masa zaman Jepun dulu susah lagi. Sekarang senang sudah boleh ke laut, boleh sembahyang dan orang tidak ganggu.

“Dia kira begitu saja, tak faham politik. Kalau yang ini, selagi boleh pujuk, pujuk supaya undi kita tapi kalau ambil masa, tak payah, biar situlah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kijal pada malam Rabu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang itu turut mengakui Perikatan Nasional (PN) masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

Malah katanya, pencalonan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen Kemaman adalah sebahagian daripada persediaan mereka untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“PRK ini bukan untuk Kemaman sahaja, tapi lebih besar lagi untuk Malaysia seluruhnya. Ini untuk menambah dan mempertahankan kerusi Melayu, PN yang ada.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang memujuk lagi UMNO sebab bukan semua sokong PH (Pakatan Harapan) dan pihak lain untuk bergabung. Kita nak ambil langkah lagi jauh iaitu kerajaan pusat.

"Sebab itu bila ada kosong di Kemaman, kita ambil dia kerana nak teguhkan kedudukan kita di kerajaan pusat. Kemenangan di sini sangat penting untuk ambil alih kuasa pemerintahan orang Islam,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!