AGRA tangguh himpunan, namun tetap awasi Dong Zong

Mohd Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim
A
A
A
SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) menangguhkan perhimpunan yang dirancang untuk membantah kongres Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) esok.

Keputusan itu dibuat berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan perintah dari mahkamah untuk menghentikan kongres anti jawi Dong Zong yang dijadual diadakan di Kolej New Era, Kajang.

Presiden AGRA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, bagaimanapun mereka akan mengawasi keadaan untuk memastikan Dong Zong mematuhi injunksi mahkamah.

"Sesungguhnya Dong Zong sememangnya biadab kerana berani menunggu sehingga saat akhir keputusan mahkamah untuk akur dengan desakan pelbagai pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis dapat perintah halang Dong Zong

Terdahulu, PDRM mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak Dong Zong agar tidak meneruskan kongres wakil pertubuhan Cina yang akan diadakan di Kolej New Era, Kajang esok.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang dipetik berkata, perintah tersebut diserahkan pada pihak Dong Zong pada jam 5 petang hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang hilang hak, kuasa punca Dong Zong bantah jawi

Mengulas lanjut Mohd Asraf berkata, AGRA, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bersama lain-lain gabungan masyarakat dan orang awam yang cintakan negara serta mendaulatkan Perlembagaan dan menjunjung Rukun Negara jelas sama sekali tidak akan berganjak untuk melawan pengkhianatan Dong Zong andai diteruskan kongres 'khianat', anti jawi tersebut.
Artikel Berkaitan:


"Suka kami menegaskan AGRA tidak akan sesekali berundur dalam menekan Dong Zong untuk tidak memperlekehkan semangat kebangsaan apa lagi mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara utamanya soal jawi.

"Dalam pada itu AGRA menyeru agar semua pihak untuk terus bersama AGRA dan badan-badan lain untuk berganding mengecam dan memberikan tekanan ke atas Dong Zong kerana jelas niat mereka adalah berlaku khianat dan membawa kucar-kacir dalam negara atas tingkah mereka selama ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!