[VIDEO] 2,000 penghuni sengsara lif tidak berfungsi, elektrik dipotong
MELAKA - Kira-kira 2,000 penghuni di Pangsapuri Sutera Wangi di Batu Berendam dekat sini menderita sejak seminggu lalu selepas lif di bangunan berkenaan tidak berfungsi.
Ia susulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik kemudahan awam bangunan itu, selepas pihak pengurusan pangsapuri didakwa gagal menjelaskan tunggakan bil berjumlah lebih RM380,000.
Penduduk yang juga orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kiri, R Parthiban,44, berkata, dia melalui hari yang sukar kerana terpaksa turun dari tingkat enam rumahnya dengan menggunakan tangga.
Menurutnya, dalam tempoh itu setiap hari dia mengambil masa kira-kira 45 minit untuk naik dan turun menggunakan tangga.
Parthiban turut mendakwa bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya juga telah dipotong pada bulan lalu, menyebabkan dalam tempoh itu dia terpaksa turun naik tangga untuk menguruskan permohonan bantuan.
"Sudahlah keadaan saya begini, kadang saya terpaksa mengengsot untuk turun tangga kerana tak tahan berdiri lama menggunakan tongkat.
"Ini pula bantuan kebajikan telah dipotong, beberapa hari ini saya terpaksa turun naik tangga nak uruskan permohonan baharu dan ia sangat menyeksakan," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Bagi warga emas yang terpaksa menjalani dialisis setiap hari, Hamidah Jamaludin, 60, berkata, dia yang tinggal berseorangan di tingkat tujuh bimbang kerana air untuk kegunaan dialisis telah kehabisan.
Menurutnya, kebiasaannya pihak hospital akan menghantar bekalan air tersebut menggunakan lif ke tingkat rumahnya, namun dengan keadaan sekarang agak sukar pihak berkenaan untuk berbuat demikian.
"Sedangkan itulah penyambung nyawa saya memandangkan saya perlu dialisis empat kali sehari.
"Pihak berkaitan bantulah, tolonglah kami kerana penduduk di sini ada warga emas dan OKU," katanya.
Nor Azlan Ali, 37, yang juga OKU berkata, sejak lif tidak berfungsi, pernah sekali isterinya yang sedang sarat mengandung lapan bulan tergelincir ketika menaiki tangga untuk ke rumahnya di tingkat enam.
Menurutnya, akibat insiden itu isterinya yang bekerja sebagai kerani terpaksa ditahan wad, namun bersyukur keadaannya selamat.
"Saya bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini, malah saya yang bergerak menggunakan tongkat susah untuk turun naik tangga ke rumah kami di tingkat enam," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, pihak TNB terpaksa mengambil tindakan itu setelah pengurusan pangsapuri gagal membuat bayaran bil elektrik seperti yang dijanjikan selepas dua kali perbincangan diadakan di antara mereka.
Menurutnya, sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan hingga menyukarkan urusan harian penduduk.
"Jika tiada cara penyelesaian di peringkat pengurusan pangsapuri untuk mematuhi perjanjian bayaran ansuran, selagi itu masalah tidak akan diselesaikan," katanya.
Difahamkan penduduk mengambil inisiatif menggunakan generator bagi membolehkan lif itu beroperasi pada waktu puncak terutama pada waktu pagi dan petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!