PRK Kemaman: Pengundi muda kini lebih matang, mahu suara diwakili calon tepat
CHUKAI - Berhadapan pilihan raya ketiga di Kemaman dalam masa setahun, kelompok pengundi muda di Parlimen ini sedar 'jari' mereka mempunyai kuasa besar yang ditagih calon bertanding.
Mewakili 31 peratus daripada 141,790 pengundi layak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini, pengundi bawah 30 tahun yang ditemui Bernama di sini, rata-ratanya lebih matang dan sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam mencorakkan masa depan lebih cerah untuk Kemaman.
Siti Nurfitri Nisya Mohamad Ali berkata, pada usia 23 tahun, beliau memiliki kemampuan untuk memahami sebarang perkara yang berlaku dalam negara serta melakukan semak dan imbang sebelum membuat pilihan.
Guru tadika itu percaya pembacaan berkenaan isu sosial, ekonomi mahupun politik yang diperoleh melalui berita dan media sosial membantu dalam membuat penilaian untuk memilih wakil rakyat sebaiknya.
"Pada umur sekarang saya rasa golongan muda dah capai tahap kematangan dan dengan teknologi moden kami sendiri boleh selidik dan semak tentang calon, parti yang mewakili calon sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Bernama.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
PRK itu perlu diadakan semula, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15 yang diadakan pada 19 November 2022.
Pada 12 Ogos lepas pula, pengundi di empat Dewan Undangan Negeri di Parlimen itu terlibat melaksanakan tanggungjawab masing-masing, mengundi bagi Pilihan Raya Negeri.
Turut mengundi buat kali ketiga, Muhammad Arif Mohd Zawawi, 23, berkata, sebagai pengundi muda, beliau selalunya akan mendapatkan pandangan ahli keluarga berkenaan calon ditawarkan parti-parti bertanding, namun tetap mempunyai kuasa membuat pilihan sendiri.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu berkata, biarpun terpaksa keluar mengundi buat kali ketiga, beliau tidak akan melepaskan peluang kerana memahami kepentingan tanggungjawab agar wakil rakyat dipilih dapat membawa suara belia dalam pentadbiran kerajaan.
"Sebelum ini saya dapatkan pandangan ibu bapa dan saudara mara yang dah berpengalaman dan kemudian akan membuat penilaian sendiri tanpa dipaksa sesiapa kerana percaya setiap undi itu penentu masa depan saya.
"Walaupun ini masuk kali ketiga mengundi, saya tak bosan atau meluat sebab saya percaya satu undi juga boleh membawa perubahan kepada kawasan kami,” katanya.
Anak jati Kampung Geliga, Abdul Syahiran Mohd Shafie, 18, yang akan mengundi buat kali pertama juga menyatakan keterujaan untuk mengundi pada 2 Disember ini kerana sudah mempunyai ‘pilihan hati’ dalam menentukan wakil rakyat.
Biarpun usia masih belasan tahun, bekas pelajar sekolah tahfiz di Chendor itu berkata, beliau tidak akan membuat pilihan berdasarkan emosi sebaliknya akan berfikir dengan teliti dan bertindak bijak sebelum melaksanakan tanggungjawab.
Pada Disember 2021,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan kelayakan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang menyaksikan kesemua rakyat Malaysia yang cukup umur 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pengundi. - bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!