Gajah jantan ditemui mati di Sukau
KINABATANGAN - Seekor gajah jantan berusia lima tahun ditemui mati oleh kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah di kawasan Ladang Malangking, Sukau dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pada mulanya Jabatan Hidupan Liar menerima maklumat mengenai seekor gajah yang berada di kawasan ladang berkenaan dalam keadaan tidak stabil.
"Ekoran maklumat tersebut, kakitangan jabatan berkenaan ke ladang itu untuk membuat pengesahan maklumat yang diperolehi itu, namun sebaliknya mereka menemui seekor gajah yang telah mati pada jam 3.40 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulbaharin berkata, susulan penemuan itu, pihak Jabatan Hidupan Liar membuat satu laporan polis semalam pada jam 8.05 pagi dan pihaknya telah menjalankan siasatan di tempat kejadian bersama jabatan itu serta unit veterinar Kota Kinabalu.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan atau tembakan pada kesemua badan gajah, namun pemeriksaan pada organ dalaman dipercayai ada kesan jangkitan kuman di bahagian paru-paru.
"Sebanyak tujuh sampel telah diambil untuk tujuan analisis di Jabatan Kimia Malaysia, bagi mengenal pasti punca kematian sebenar gajah tersebut," katanya.
Sementara itu, Dzulbaharin berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 37 Enakmen Pemeliharan Hidupan Liar 1997 iaitu mencederakan haiwan hidupan liar atau dilindungi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!