SMK Shah Alam ketuai 15 pasukan ke pusingan kedua

SMK Shah Alam dengan status juara Piala Sumbangsih meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.
SMK Shah Alam dengan status juara Piala Sumbangsih meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.
A
A
A

JUARA Sumbangsih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam mengetuai 15 pasukan lain mara ke pusingan kedua Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B15) Tahun.

SMK Shah Alam mara dengan status juara kumpulan A apabila menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan setelah mengumpul sembilan mata.

"Alhamdulillah, hasil bantuan serta sokongan ibu bapa dan warga sekolah, pasukan bola sepak SMK Shah Alam berjaya mengharungi perlawanan peringkat kumpulan dengan cemerlang.

"Saya berharap mometum kemenangan ini diteruskan pemain-pemain sehingga ke perlawanan akhir, Insya-ALLAH.

"Begitupun, kita akan memantapkan lagi kekurangan yang terdapat dalam pasukan untuk memastikan pasukan SMK Shah Alam konsisten meraih keputusan positif setiap perlawanan," kata pengendali skuad B-15 SMK Shah Alam, Akid Zanggi kepada Sukan Sinar.

Sementara itu, turut layak ke pusingan seterusnya, SMK Sultan Abdul Samad dengan status naib juara kumpulan A setelah mengumpul enam mata - menang dua, tewas satu selepas mengharungi tiga perlawanan.

SMK Tengku Ampuan Jemaah pula mewakili kumpulan B dengan tujuh mata bersama SMK Seksyen Tujuh, Shah Alam (enam mata) juga mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

SMK Bukit Sentosa dan SMK USJ 4 dari kumpulan C turut mara setelah mengesahkan status masing-masing sebagai juara serta naib juara kumpulan.

Artikel Berkaitan:

SMK Bukit Sentosa mara selepas mengumpul tujuh mata - menang dua, seri satu, manakala SMK USJ 4 pula enam mata (dua menang, satu tewas) setelah tiga perlawanan.

Kumpulan D pula menyaksikan penguasaan SMK Saujana Putra yang mengumpul sembilan mata selepas menang kesemua perlawanan diikuti SMK Saujana Utama kedua terbaik dengan tujuh mata.

SMK Telok Panglima Garang dan SMK Seksyen Sebelas, U14 pula mengisi slot wakil dari Kumpulan E, dengan masing-masing mengumpul sembilan dan enam mata selepas tiga perlawanan.

Kumpulan F menyaksikan penguasaan SMK Syed Mashor dengan sembilan mata sambil MRSM Sungai Besar turut mengisi slot naib juara - satu menang, satu seri, satu tewas - setelah mengharungi tiga perlawanan.

SMK Darul Ehsan dan SMK Sungai Kapar Indah, pula mengesahkan slot dari kumpulan G dengan masing-masing memperolehi sembilan serta empat mata.

Dua slot terakhir pula diisi SMK Meru dan SMK Dato' Harun dari kumpulan H, menyaksikan jagoan Klang itu mengumpul sembilan mata diikuti pasukan dari Tanjung Karang - empat mata hasil satu menang, satu seri, satu tewas - selepas tiga perlawanan.

Saingan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 27 November, diikuti dengan perlawanan suku akhir pada 29 November, separuh akhir pada 1 Disember dan perlawanan akhir pada 4 Disember.

Penganjur masih mengekalkan format Piala Juara-Juara Sekolah dari Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Selangor.

Kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.

KELOMPOK 16 PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15 2023

KUMPULAN A

SMK Shah Alam

SMK Sultan Abdul Samad

KUMPULAN B

SMK Tengku Ampuan Jemaah

SMK Seksyen Tujuh, Shah Alam

KUMPULAN C

SMK Bukit Sentosa

SMK USJ 4

KUMPULAN D

SMK Saujana Putra

SMK Saujana Utama

KUMPULAN E

SMK Telok Panglima Garang

SMK Seksyen Sebelas, U14

KUMPULAN F

SMK Syed Mashor

MRSM Sungai Besar

KUMPULAN G

SMK Darul Ehsan

SMK Sungai Kapar Indah

KUMPULAN H

SMK Meru

SMK Dato’ Harun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!