Keputusan permohonan Muhyiddin dapatkan pasport secara kekal Rabu ini
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menetapkan 29 November ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam pemohon Datuk K. Kumaraendran serta Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Lim Wai Keong.
Terdahulu, Kumaraendran berhujah bahawa ia tidak sepatutnya menjadi isu bagi mahkamah menyerahkan pasport itu tanpa syarat kerana anak guamnya tidak pernah gagal menghadiri prosiding mahkamah sejak kes itu bermula.
"Anak guam saya juga memegang beberapa jawatan penting di negara ini... beliau Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Bersatu. Beliau juga memiliki aset di Malaysia. Oleh itu, tidak timbul isu untuk mahkamah tidak menyerahkan pasport secara kekal,” kata peguam.
Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujah balasnya berkata, permohonan berkenaan tidak sepatutnya dibenarkan kerana tertuduh masih menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
DPP Lim pula berhujah bahawa jika permohonan itu dibenarkan, ia akan memperolok-olokkan keadilan kerana alasan utama tertuduh mendapatkan pasport secara kekal adalah untuk tujuan percutian.
Muhyiddin,76, hadir ke mahkamah pada Khamis.
Pada 16 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan notis permohonan supaya mahkamah mengubah bon yang dikenakan terhadapnya bagi mengembalikan pasport antarabangsanya tanpa syarat.
Dalam afidavit sokongannya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau memerlukan pasport untuk percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.
Pada 2 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas terhadap satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama terhadap keputusan itu dan pendengaran rayuan ditetapkan pada 28 dan 29 Feb 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!