Denggi ragut cinta kami!

Gambar kenangan bersama Allahyarham isteri.
Gambar kenangan bersama Allahyarham isteri.
A
A
A

PULAU INDAH – Kira-kira 500 penghuni Flat Sri Bahtera, di Bandar Armada Putra di sini, dibelenggu kebimbangan berikutan wabak denggi semakin menular di kawasan perumahan berkenaan.

Lebih memilukan apabila ada yang kehilangan insan tersayang sekali gus meninggalkan trauma buat mereka.

Penghuni berkenaan berkongsi duka selepas ada ahli keluarga mereka yang maut akibat gigitan nyamuk aedes.

Tinjauan Sinar Harian mendapati longkang berhampiran flat dipenuhi semak serta sampah sarap bertaburan di tempat pembuangan sampah.

Khairul Azmir, 40, yang baru sahaja kehilangan isteri tersayang, pada Disember lalu akibat demam denggi.

Menurutnya, kegembiraan mereka sekeluarga pulang ke kampung di Perak bulan lalu bertukar duka apabila isterinya, Musliha Yusoff, 39, terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Kami pulang ke kampung di Perak untuk habiskan cuti tahun. Ketika kami sampai di kampung, arwah memang ada mengadu rasa tak sedap badan dan demam. Tapi dia hanya makan Panadol untuk legakan demamnya itu," katanya sayu.

Khairul Azmir menunjukkan gambar Allahyarham isterinya yang meninggal akibat demam denggi.
Khairul Azmir menunjukkan gambar Allahyarham isterinya yang meninggal akibat demam denggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keadaan arwah semakin lemah dua hari selepas itu dan gusinya yang bengkak bertukar hitam.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kemudiannya terus membawa isterinya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut dan doktor mengesahkan Musliha demam denggi.

"Kami kemudiannya menghantar arwah ke ke kesihatan tapi platelet darah isteri saya merosot dan terus dihantar ke Hospital Manjung.

“Doktor sahkan arwah menghidap demam denggi berdarah, namun selepas tiga hari dirawat dia pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, walaupun sedih, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Siapa tak sedih dan trauma bila sekelip mata orang tersayang pergi meninggalkan kita, namun saya kena kuatkan semangat demi anak-anak,” katanya.

Ambil iktibar

Khairul Azmir mahu penghuni lain mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku ke atas keluarganya dan bertindak segera sebelum keadaan bertambah buruk.

Khairul Azmir memberitahu, dia juga pernah dijangkiti demam denggi empat tahun lalu dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

"Badan lemah, nak angkat kepala pun tak larat. Tapi syukur demam saya tak begitu serius dan dibenarkan pulang selepas tiga hari dirawat.

Peniaga, Mohd Ali Sihap, 63, yang mengalami nasib sama mendakwa kes denggi di kawasan itu sudah berlaku sejak

10 tahun lalu.

Justeru, dia mahu pihak berkuasa terbabit dapat segera membantu menyelesaikan masalah itu bagi mengelakkan lebih banyak kes denggi.

Masih terkawal

Penduduk, Mohd Nor Salleh yang menetap di flat itu sejak 15 tahun lalu berkata, tahun lalu, kawasan perumahan terbabit antara kawasan ‘hot spot’ denggi di daerah ini.

Katanya, penduduk tidak menolak kemungkinan berpunca daripada sistem perparitan yang tidak diselanggara serta kawasan sampah haram berhampiran flat terbabit.

“Memang kat sini selalu ada kes dan antara kawasan panas denggi. Lokasi itulah mungkin jadi tempat nyamuk bersarang," katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan sememangnya ada melakukan semburan kabus (fogging), tetapi masih tidak menyelesaikan masalah.

“Jadi saya harap pihak berkenaan mengambil tindakan segera apatah lagi cuaca sekarang tidak menentu menimbulkan keresahan ratusan penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Mashitah Mohamed berkata, wabak denggi di kawasan perumahan terbabit masih terkawal.

“Tahun lalu ada 39 kes direkodkan dan bulan ini, ada satu kes. Bagaimanapun wabak denggi di sini masih terkawal

“Kita sentiasa membuat dan pemantauan kawasan terbabit. Kita juga mahu penduduk menjaga kebersihan persekitaran mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!