Bersatu miliki ramai pelapis untuk pimpin parti - Faizal Azumu

Ahmad Faizal ketika sidang media pada pembukaan Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu kali keenam di IDCC, Shah Alam pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN
Ahmad Faizal ketika sidang media pada pembukaan Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu kali keenam di IDCC, Shah Alam pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai ramai pelapis termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berupaya memimpin parti pada masa akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kelayakan untuk memimpin bukan diukur dengan kemampuan semata-mata tetapi turut mengambil kira aspek yang lain.

Sebagai contoh katanya, bakal pemimpin perlu mempunyai nilai kepartian yang tinggi serta taat kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada saya Hamzah bukan sahaja pemimpin masa depan bahkan pemimpin sekarang.

"Beliau berperanan penting sebaagi Setiausaha Agung (Bersatu) bukan saja dalam Bersatu tapi dalam PN.

“Yang pentingnya semua pemimpin (saling) bekerjasama dan taat setia yang kuat kepada Tan Sri Presiden (Muhyiddin),” katanya kepada pemberita selepas selesai merasmikan majlis pembukaan Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi Bersatu kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang menyebut Hamzah sebagai pemimpin masa depan.

Sementara itu, ditanya bila pemilihan parti akan diadakan, Ahmad Faizal menjelaskan kemungkinan besar ia akan dibuat tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“Jelas sekali pemilihan hanya akan dibuat tahun depan, kita buat ketetapan utk tangguhkan pemilihan mengikut yang dibenarkan dalam perlembagaan dan ia hanya boleh dibuat tahun depan.

“Saya harap tiada perubahan (kepimpinan) dalam masa terdekat,” katanya.

Muhyiddin ketika Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Harian baru-baru ini mendedahkan, beliau tidak menolak kemungkinan pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian parti itu dibuat lebih awal daripada tempoh penangguhan 18 bulan seperti diputuskan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), keputusan rasmi mengenainya akan ditetapkan pada mesyuarat yang bakal berlangsung bersekali dengan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu keenam bermula pada Khamis.

Hamzah pada Mei lalu memaklumkan parti itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan MPT dan bahagian dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan.

Menurutnya, penangguhan tersebut dibuat bagi membolehkan parti memberi tumpuan dan persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Namun katanya, penangguhan berkenaan tidak bersekali dengan pemilihan di peringkat cawangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!