Pemilihan pimpinan Bersatu tetap perlu dibuat, ikut struktur - Radzi
SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, proses pemilihan bagi pimpinan parti itu tetap perlu dilakukan apabila tiba masanya dengan membabitkan struktur jawatan sedia ada.
Menurutnya, selari dengan penjelasan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah pasti kepimpinan parti memerlukan kesinambungan.
"Apa yang jelas, Bersatu ini berada di sini untuk satu tempoh yang panjang. Saf-saf kepimpinan di pelbagai peringkat itu perlu memastikan mempunyai pelapis-pelapis agar parti terus mengukuh.
"Sampai masa kita akan adakan pemilihan, dan kita lihatlah keadaan pada masa itu," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab mengenai sama ada jawatan tertinggi Bersatu akan dipertandingkan setelah menyaksikan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan utama parti itu.
Mohd Radzi berkata, dalam konteks pemilihan Bersatu, parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu bersifat terbuka dalam menyediakan pimpinan pelapis.
Katanya, parti itu juga selama ini telah banyak memberi ruang kepada anak-anak muda sebagai pelapis.
"Saya rasa presiden amat terbuka menyediakan pelapis-pelapis kepimpinan parti...bila-bila masa saja disusun dengan cukup baik," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Muhyiddin tidak menolak kemungkinan pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian parti itu dibuat lebih awal daripada tempoh penangguhan 18 bulan seperti diputuskan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, keputusan rasmi mengenai perkara itu akan ditetapkan pada mesyuarat yang bakal berlangsung bersekali dengan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-6 yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!