MFL akan bincang dengan kelab keputusan FAM

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bercadang mengadakan perbincangan dengan semua kelab Liga Super berhubung keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan mereka menghantar pasukan bagi Piala Presiden dan Piala Belia bermula 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, tujuan perbincangan itu untuk melihat kemampuan kelab melaksanakan perkara berkenaan selain pemahaman mereka bahawa keputusan tersebut demi proses pembangunan pemain.

"Ia (wajib hantar pasukan bagi Piala Presiden dan Piala Belia) satu keputusan yang saya rasa bagus untuk pembangunan, tetapi satu perbincangan juga perlu ada bersama semua CEO pasukan untuk pastikan apa yang diumumkan oleh FAM boleh dilaksanakan di peringkat kelab.

"MFL juga mahu lihat pemahaman kelab mengenai keputusan FAM tempoh hari yang merupakan satu keputusan berasaskan pembangunan yang diperlukan daripada kelab profesional Liga Malaysia (Liga-M)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Piala Presiden adalah kejohanan peringkat umur Bawah 20 Tahun (B-20), manakala Piala Belia bagi peringkat umur Bawah 18 Tahun (B-18).

Mengulas lanjut, Stuart berkata, semua pihak perlu memahami kepentingan aspek pembangunan yang bukan sahaja akan memanfaatkan pasukan dari pelbagai sudut, malah dapat memberi faedah kepada skuad kebangsaan.

Menurutnya, pelaburan terhadap pasukan pembangunan adalah sama penting dengan keputusan kelab yang mahu mendapatkan seorang pemain import.

"Kadang-kadang keputusan mengambil satu pemain import kosnya sama dengan kos pembangunan yang pasukan tidak sanggup bayar," kata Stuart yang mengakui lebih 60 peratus pasukan Liga Super musim ini telah menghantar pasukan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan Liga Super sebelum ini diberikan pengecualian untuk sama ada menghantar pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) ataupun B-18.

Namun pada 6 November lepas, Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju kesemua pasukan Liga Super musim depan diwajibkan menghantar pasukan bagi Piala Presiden dan Piala Belia.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!