Zii Jia mara ke suku akhir Masters China
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan cabaran dalam saingan Masters China selepas mara ke suku akhir di Shenzhen pada Rabu.
Kejayaan tersebut diraih selepas pemain berusia 25 tahun itu mudah mengalahkan wakil tuan rumah, Lu Guang Zu pada pusingan kedua.
Zii Jia menampilkan prestasi terbaiknya untuk menoktahkan kemenangan 21-10, 21-12 dalam tempoh 40 minit di Gimnasium Shenzhen Bay itu.
Menerusi didikan Wong Tat Meng, juara Terbuka Artik itu berharap dapat mara lebih jauh kali ini kerana ia merupakan kejohanan terakhir baginya pada tahun ini.
“Saya hanya cuba buat yang terbaik untuk banyak bersabar di gelanggang. Ia membuahkan hasil, jika anda lihat Guang Zu banyak buat kesilapan mudah. Ia menjadi kelebihan buat saya.
“Gembira dapat mara ke peringkat seterusnya kerana tahun ini tidak banyak saya berjaya melangkah ke suku akhir. Harap boleh pergi lebih jauh kerana ini kejohanan terakhir saya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menerusi kemenangan itu, Zii Jia sudah mencatat empat kemenangan daripada lima perlawanan dengan Guang Zu.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu bakal membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dengan Kenta Nishimoto dari Jepun dalam saingan suku akhir pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!