121 anggota polis ditahan SPRM sejak Januari
KUALA LUMPUR - Seramai 121 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari hingga Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam tempoh sama, seramai 26 orang telah dituduh dan 14 orang disabitkan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
"Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menerima 5,413 aduan yang mana 4,497 subjek merupakan pegawai polis sejak Januari hingga Oktober lalu.
"Daripada jumlah tersebut, 2,841 (52.48 peratus) adalah aduan berkaitan salah laku di bawah kategori integriti," katanya pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C Sempena Sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM di sini, pada Khamis.
Razarudin berkata, bagi kes melibatkan penyalahgunaan dadah, seramai 196 warga PDRM ditahan dalam tempoh sama.
"Di samping itu, berdasarkan statistik bagi tempoh kajian yang sama, seramai 623 pegawai polis telah ditahan kerja, manakala 156 pula telah digantung kerja," katanya.
Razarudin berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan.
"Usaha ini adalah demi memastikan keutuhan dan integriti sebagai pegawai polis dapat ditingkatkan, sekali gus memelihara dan menjaga imej serta nama baik pasukan polis.
"PDRM juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga pasukan yang didapati terlibat dengan aktiviti salah laku yang boleh menjatuhkan nama baik serta maruah pasukan," katanya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, warga PDRM sentiasa terdedah dengan pelbagai tuduhan mahupun tohmahan yang mencabar kredibiliti pasukan polis.
"Begitu juga dengan penularan berita-berita tidak sahih yang dikongsi di media sosial mengenai pelanggaran integriti oleh warga pasukan dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Justeru, bagi menangani isu-isu berkaitan pelanggaran integriti dan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM, ketegasan dalam pemantauan dan penyeliaan menggunakan kaedah 'close monitoring' terhadap warga pasukan adalah option yang terbaik," katanya.
Beliau berkata, ia berdasarkan kepada prinsip akauntabiliti, penyeliaan dan pemantauan harus dilaksanakan dengan bertunjangkan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai mekanisme semak dan imbang.
"Saya mengingatkan kepada semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia agar memainkan peranan masing-masing menjalankan kawalan serta pemantauan ke atas pegawai dan anggota yang diselia.
"Ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia perlu bertanggungjawab terhadap segala tingkah laku pegawai bawahan masing-masing dengan sering membuat perjumpaan, memberi teguran, nasihat serta mengambil tindakan yang sewajarnya jika perlu," ujarnya.
Razarudin berkata, arahan Ketua Polis Negara No. 191: Total Enforcement ke Atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang dikeluarkan pada 26 Ogos lalu perlu dipandang serius.
"Arahan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Ahad ini, iaitu setelah tamat tempoh tiga bulan dari tarikh arahan dikeluarkan ke atas sebarang kegagalan pematuhan berdasarkan peraturan tersebut," katanya.
Razarudin turut menyeru kepada seluruh warga PDRM untuk melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh ikhlas, jujur serta berintegriti.
"Semoga, segala usaha kita dalam memartabatkan imej PDRM sebagai agensi penguat kuasa unggul yang berintegriti tinggi, dipermudahkan oleh-Nya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!