Young Tigers mampu cemerlang di Piala Dunia - Van Huizen
PENASIHAT Teknikal Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Stephen Van Huizen optimis skuad hoki remaja negara mampu menampilkan aksi cemerlang pada Piala Dunia Remaja 2023 Kuala Lumpur yang akan membuka tirai pada 5 Disember depan.
Meskipun beraksi dalam 'kumpulan maut', bekas pemain negara itu yakin skuad Young Tigers sudah membuat persediaan secukupnya selepas barisan jurulatih telah memberikan latihan spesifik termasuk menyediakan jurulatih khas semasa latihan untuk memberi tentangan sengit sewaktu kejohanan berprestij itu.
"Perlawanan di Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 beri pasukan banyak pengalaman. Kita dah buat post mortem untuk tengok kelemahan.
"Kita boleh baiki pukulan sudut penalti, pertahanan masih berlatih dan sudah baik dan kita telah memperkukuhkan base line kita.
"Jadi dalam masa tiga minggu selepas SOJC kita ada buat latihan khusus dan persatuan ada sediakan jurulatih berpengalaman untuk latih penjaga gol selain jurulatih khas dari Australia untuk bantu pasukan dari segi pukulan sudut penalti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Skuad negara bimbingan Muhamad Amin Rahim akan memulakan kempen Piala Dunia Remaja 2023 pada 5 Disember bertemu Chile diikuti perlawanan menentang Argentina pada 6 Disember dan Australia dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Disember.
Dalam pada itu, Van Huizen tidak mahu meletakkan sasaran secara spesifik kepada skuad Young Tigers kerana tidak mahu memberi tekanan, namun menegaskan skuad negara perlu memastikan kemenangan menentang Chile untuk memperoleh motivasi bertemu cabaran gergasi Argentina.
Beliau turut mengakui pasukan negara mempunyai kelebihan kelajuan dan teknik yang perlu dimanfaatkan selain yakin mereka dilihat sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memperagakan aksi cemerlang menentang Chile kelak.
"Setiap perlawanan, kita perlu menang, walaupun kita menentang pasukan hebat, tapi kalau kerja keras mesti ada peluang sekiranya pasukan konsisten dan ikut perancangan jurulatih. Sebab pemaian ada kelajuan dan kemahiran, cuma tak konsisten.
"Mereka sudah bermain di Sukan SEA, Kemboja, Piala Sultan Johor, jadi kami memang harap mereka sudah ada pengalaman," katanya.
Skuad Young Tigers menampilkan aksi kurang memberangsangkan apabila menutup kempen SOJC di tempat ketujuh daripada lapan negara bertanding pada Oktober lepas.
Pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Dunia Remaja adalah tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu edisi 1979 di Versailles, Perancis; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!