Hubungan Pearly-Thinaah cetus teka-teki
TEWAS pada pusingan pertama Masters China pada Rabu mencetuskan teka-teki dalam kalangan peminat mungkin berlaku salah faham antara Pearly Tan dan M Thinaah.
Mereka kalah di tangan pilihan kelapan kejohanan dari Korea Selatan, Jeong Na-eun-Kim Hye-jeong menerusi keputusan 21-11,15-21, 22-20.
Di sebalik kekalahan itu, tumpuan pengguna media sosial ialah kepada wajah suram Pearly dan Thinaah di atas gelanggang.
Mereka dilihat kurang ceria dan tiada komunikasi, selain tidak memandang wajah sesama mereka seperti permainan sebelum ini.
Video tindakan dingin Pearly dan Thinaah itu dimuat naik oleh pengguna TikTok, nazumakizulhalmi pada Rabu.
“Biasalah tu dalam berkawan memang ada gaduh lepas tu berbaik lagi. Lepas berbaik makin serasilah kesefahaman diorang dalam gelanggang,” tulis seorang pengguna dikenali sebagai Mei.
Thinaah yang ditemubual oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat aksi mengakui dia serta Pearly mengalami prestasi tidak menentu pada tahun ini.
"Tahun ini ada turun dan naik, tetapi lebih banyak turun. Ia sesuatu yang kami perlu atasi dan perbaiki bagi menjadi lebih baik pada tahun depan," katanya.
Musim ini Pearly-Thinaah sekadar muncul naib juara sebanyak dua kali iaitu pada Masters Malaysia dan Terbuka Hong Kong.
Malah mereka juga gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis yang dimenangi tahun lalu selepas terpaksa menarik diri susulan kecederaan belakang dialami Pearly.
Sukan Sinar cuba mendapatkan maklum balas daripada pasangan itu, namun belum berhasil.
Begitu juga dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang gagal dihubungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!