'Air naik cepat, banyak barang tidak dapat diselamatkan'
KUALA NERUS - Penduduk di Taman Desa Yayasan Terengganu (YT) di sini mengambil langkah berjaga-jaga setelah kediaman mereka dinaiki air secara mendadak ketika banjir melanda Isnin lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Rosdi Ghazali, 54, berkata, hujan lebat berterusan sejak Ahad lalu menyebabkan 63 keluarga yang tinggal di kawasan itu terjejas dan dipindahkan ke kawasan selamat.
Menurutnya, air naik dengan begitu cepat sehingga mencecah antara 0.3 meter (m) hingga 1.06m di dalam rumah bermula sekitar jam 5 pagi.
"Waktu tu ada keluarga yang tak sempat keluar ke tempat kerja sebab air naik begitu cepat menyebabkan masing-masing kelam-kabut untuk menyelamatkan harta benda dan membawa kenderaan ke tempat selamat.
"Masuk hari keempat hari ini (Khamis) kebanyakan penghuni telah kembali ke rumah masing-masing untuk membersihkan kawasan rumah selepas air mula surut pada Rabu," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Rosdi, mangsa yang terjejas banjir di kawasan itu berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan flat Kampung Batin di sini.
Katanya, kebanyakan penduduk kini mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca bagi mengelak kejadian sama berulang berikutan cuaca dijangka tidak menentu bermula 21 hingga 29 November depan.
Selain itu, katanya, mereka menjangkakan kawasan itu akan dinaiki air sebanyak tiga kali berdasarkan situasi yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
"Setiap tahun ada banjir dan ada kemusnahan harta benda penduduk disebabkan limpahan air yang banyak di kawasan ini. Untuk banjir tahun lepas kita ada terima bantuan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta syarikat insurans.
"Jadi, kami masih lagi berhati-hati, ada yang masih lagi berada di PPS kerana rumah masih belum siap dibersihkan dan belum boleh didiami," katanya.
Dalam pada itu, Rosdi minta kerajaan negeri mengambil langkah berkesan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.
"Kerajaan negeri perlu buat sesuatu bagi mengatasi masalah banjir melibatkan sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), stadium dan perumahan di sini untuk menghindari banjir besar pada tahun-tahun akan datang," ujarnya.
Sementara itu, wakil penduduk, Nor Aidawaty Muhammad, 41, berkata, banjir Isnin lalu adalah kali kedua terburuk yang pernah dilalui sepanjang 12 tahun tinggal di kawasan itu.
"Kami pernah mengalami banjir buruk ketika mula-mula pindah di sini dan kali ini antara yang buruk pernah berlaku.
"Kalau sebelum ni kita boleh jangka air naik sehingga ke paras mana sebab ia naik perlahan-lahan. Banjir kali ini air naik dengan begitu cepat sehingga banyak barang yang tidak dapat diselamatkan," kata ibu kepada lima cahaya mata itu.
Seorang lagi penduduk, Mustafa Nor Ramli@Kadir, 43, berkata, air mula melimpah sejak jam 4.30 pagi dan mula memasuki kediamannya dengan cepat.
"Walaupun kedudukan rumah saya agak tinggi, air mula melimpah masuk sehingga banyak barangan yang tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang.
"Hari ini sudah masuk hari kedua kami mengemas barang. Banjir kali ini pun agak berlainan kerana air masih bertahan dan paras air di dalam rumah lebih tinggi pada hari kedua banjir Selasa lalu," katanya yang berpindah bersama tiga ahli keluarganya ke PPS SK Teluk Ketapang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!