Pembaris atau sarkastik?

A
A
A

MINGGU ini, saya bercadang membuat satu kajian ilmiah pula. Kajian ini penting juga untuk kita belajar cara membaca sesuatu artikel, mesej ataupun apa sahaja di dalam media sosial.

Sebenarnya hasil daripada hantaran dalam laman media sosial Dr Siti Mariah Mahmud mencetuskan idea kepada saya untuk membuat kajian ini.

Berfikir bagaimana hendak membaca dan memahami hantaran tersebut. Mungkin secara literal, sama ada kita hendak membacanya secara pembaris atau secara sarkastik.

Oleh itu secara ringkasnya elok juga saya kongsikan hantaran tersebut sebagai renungan kita bersama-sama dan pada masa yang sama, kita dapat belajar bersama-sama bagaimana cara membaca dan memahaminya.

Perkongsian beliau saya petik secara ringkas sahaja yang menyatakan bahawa, kerajaan perlulah mengikut kehendak rakyat jelata. Rakyat hendak gaji naik, tambah elaun sara hidup, pendek kata beri sahaja apa yang rakyat mahukan sekarang walaupun kerajaan terpaksa berhutang dan mengalami defisit dalam jangka masa panjang.

Kata beliau lagi, eloklah dikembalikan semula GST tetapi dengan kadar tiga peratus untuk tambahkan pendapatan negara. Hapuskan PTPTN, mansuhkan tol, beri subsidi petrol dan tambahkan bantuan sara hidup.

Selain itu kata beliau lagi, beri sahaja pendidikan percuma, air percuma, tambah lagi kakitangan kerajaan seperti yang dikehendaki rakyat jelata. Gunakan sahaja semua pendapatan negara untuk rakyat. Untuk pembangunan kita berhutang sahaja dengan kerajaan China.

Kemudian hutang itu, kita bayar sikit-sikit walaupun faedahnya lebih banyak dan ambil masa yang lama hendak membayarnya pula. Kalau tak cukup duit, kita ambillah dari KWAP, SOCSO, LTAT dan lain-lain tabung negara dan nanti bayarlah balik.

Artikel Berkaitan:

Dan lagi kata beliau, tak perlu untuk bersungguh-sungguh membanteras rasuah atau betulkan pentadbiran, sebab rakyat kata susah hendak berniaga bila tidak boleh beri duit bawah meja. Ini kerana ekonomi jadi lembap dengan langkah kerajaan ini.

Dan lagi, ini hanya untuk memenangi hati rakyat jelata pada masa pilihan raya yang ke 15 nanti. Kalau semua yang dilakukan ini akan merosakkan negara dalam jangka masa panjang, biarlah kalau ini membuatkan rakyat senang.

Tafsiran

Kalau 20-50 tahun lagi kita sudah tiada, biarlah mereka tangani sendiri pula. Dan kalau kita jadi kerajaan sepenggal, kita tinggalkan sahaja masalah yang timbul itu kepada kerajaan baharu pula sepertimana kerajaan terdahulu tinggalkan kepada kita.

Yang penting rakyat bahagia. Dan beliau akhiri hantaran tersebut dengan bertanya pula adakah rakyat setuju?

Begitulah yang ditulis oleh Dr Siti Mariah yang saya petik secara ringkas sahaja. Oleh itu marilah kita mengkajinya bagaimana hendak membaca petikan hantaran tersebut.

Jika saya membacanya dengan cara pembaris memandangkan saya mempunyai hati yang suci bersih dan tidak berprasangka, maka saya akan menafsirkannya sebagai:

Dr Siti Mariah sebenarnya sedang menegur kerajaan untuk membela rakyat jelata. Rakyat jelata yang hidup susah ini hendaklah dibela dengan sewajarnya memandangkan keadaan mereka sangat menderita sekarang ini. Dan selain itu juga, permasalahan yang akan timbul selepas itu, perlu ditangani kemudian sahaja.

Maka kesimpulan saya, syabas saya ucapkan YB.

Jika pula saya membacanya dengan persepsi sarkastik, maka saya berpendapat ini adalah satu penghinaan kepada rakyat jelata. Rakyat jelata yang hanya ingin seseorang yang dipercayai untuk membela mereka, tiba-tiba disindir begini pula.

Bukan ke rakyat jelata yang memilih mereka untuk menjadi kerajaan sekarang? Kenapa bila berkuasa dilupakan pula. Di mana janji-jani manismu? Kenapa apabila berkuasa, semuanya disalahkan rakyat jelata pula?

Dan yang lebih parah, rakyat jelata yang menderita mencari penghidupan yang lebih sejahtera, tiba-tiba disuruh berkorban apa sahaja. Sedangkan Pak Menteri yang mempunyai pendapatan puluhan ribu, kenapa tidak dipotong sahaja gaji mereka.

Justeru dengan membacanya hantaran ini dengan sarkastik, begitulah kesimpulan dan persepsi yang akan saya dapati. Oleh itu pertanyaan saya, bagaimana perlu kita sebagai rakyat jelata membaca hantaran Dr Siti Mariah ini?

Secara betul bendul atau secara sarkastik? Dua cara pembacaan berbeza ini sahaja sudah menghasilkan persepsi yang berbeza.

Sekali lagi, saya hendak bertanya juga kepada rakyat jelata, setuju membacanya dengan cara yang mana satu?

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!