Pelabuhan Hutan Melintang kembali beroperasi April depan
BAGAN DATUK - Pelabuhan Hutan Melintang di sini yang ditutup sejak tahun 2020 akibat pandemik Covid-19 akan kembali beroperasi April tahun depan.
Pelabuhan yang menempatkan jeti kargo dan Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang itu dalam peringkat akhir kelulusan beroperasi selepas diberikan pembangunan semula fasiliti di bawah pengurusan baharu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemudahan utama pelabuhan iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) telah disiapkan di situ.
"Walaupun pelabuhan ini bukanlah satu pelabuhan per se (seumpamanya), hanya macam jeti sahaja, tetapi semua keperluan-keperluan untuk mendarat secara sah di kawasan itu disediakan.
"Hanya ada beberapa urusan yang masih dalam peringkat tindakan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan Hutan Melintang dekat sini pada Khamis.
Beliau yakin, pembukaan semula pelabuhan itu dapat membantu pertumbuhan pembangunan bagi daerah Bagan Datuk.
"Dengan itu bermakna kargo-kargo dari luar negara dapat mendaratkan ikan dan hasil laut di pelabuhan, dalam waktu sama beroperasi di situ adalah feri-feri yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Indonesia," katanya.
Jeti Kargo berupaya menjalankan pengimportan hasil laut dan hasil pertanian untuk pasaran dalam negara serta diproses untuk dieksport ke negara lain.
Komoditi lain seperti beras, minyak, kelapa dan kayu diproses juga didagang melalui jeti tersebut antaranya melibatkan Indonesia, Thailand dan Myanmar.
Sementara Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di Bagan Datuk menjadi tumpuan warga Indonesia yang bekerja di negara ini untuk pulang ke kampung halaman menuju Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!