Scam: FB, IG lubuk kumpul data mangsa

Facebook dan Instagram dilihat menjadi 'rujukan utama' para penipu Mendapatkan maklumat mangsa sekali gus memudahkan operasi kegiatan haram dijalankan. Gambar hiasan
Facebook dan Instagram dilihat menjadi 'rujukan utama' para penipu Mendapatkan maklumat mangsa sekali gus memudahkan operasi kegiatan haram dijalankan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Laman sosial Facebook dan Instagram dilihat menjadi 'rujukan utama' para penipu atau scammer bagi mendapatkan maklumat mangsa sekali gus memudahkan operasi kegiatan haram yang dijalankan.

Pakar kriminologi, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, rata-rata pemilik akaun Facebook khususnya akan mendedahkan maklumat seperti profil peribadi, latar belakang diri meliputi apa yang mereka suka dan tidak suka, pendidikan, minat serta kecenderungan termasuk kerjaya mereka di laman sosial tersebut.

Beliau berkata, bukan setakat itu saja, turut diletakkan pada Facebook mereka maklumat seperti nombor telefon, e-mel serta alamat syarikat selain akaun laman sosial itu kebanyakannya adalah 'open for public' iaitu sesiapa sahaja boleh melihat maklumat tersebut.

Katanya, kesemua maklumat tersebut ialah 'big data' merangkumi keseluruhan maklumat tentang diri seseorang dan ia memudahkan para 'scammer' untuk mencari mangsa mereka.

"Daripada maklumat tersebut saja, para scammer boleh mengetahui sama ada mangsa ini kaya atau tidak, jenis yang memerlukan perhatian, kasih sayang atau jenis yang mudah dimanipulasi.

"Hanya tinggal untuk pilih siapa mangsa yang disukai untuk diperdaya melalui teknik-teknik atau kepakaran yang dimiliki mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Menurutnya, dalam kata lain, keterbukaan seseorang individu dalam mendedahkan maklumat diri mereka di laman sosial khususnya Facebook, banyak membuka ruang dan peluang kepada sindiket scammer yang didalangi warga asing dan bergerak bersama orang tempatan yang direkrut.

Artikel Berkaitan:

Akhbar Satar
Akhbar Satar

Selain itu katanya, beliau percaya sesetengah maklumat seperti nombor telefon mangsa ini dijual oleh syarikat telekomunikasi kepada scammer tertentu.

Mengulas mengenai modus operandi yang digunakan, Akhbar berkata, ia tidak banyak berubah kerana masih terdapat modus operandi lama yang masih relevan dan digunakan seperti penipuan love scam.

"Ada juga modus operandi baharu yang digunakan seperti penipuan kononnya mangsa terlibat dalam kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pengubahan wang haram.

"Bagaimanapun, trend modus operandi ini akan berubah mengikut keadaan serta isu semasa," katanya.

Beliau berkata, paling penting semua pihak khususnya orang awam perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan helah scammer ini.

"Kita harus ingat, apabila bank umpamanya meningkatkan ciri-ciri keselamatan atau maklumat untuk panduan pelanggan, scammer ini pula akan terus mencari jalan untuk 'menceroboh' semua ciri-ciri keselamatan yang ada...Tambah lagi mereka memang ada kepakaran dan tahu tentang teknologi maklumat," katanya.

Tamak

Sementara itu seorang lagi, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kebanyakan individu yang menjadi mangsa bukan kerana mereka tidak tahu atau tidak mempunyai maklumat tentang kes-kes melibatkan scammer tetapi ia disebabkan sikap tamak yang ada dalam diri.

Menurutnya, kebanyakan scammer bijak bermain kata-kata dan pandai memanipulasi keadaan serta memujuk mangsa.

"Mangsa dijanjikan dengan wang ratusan ribu malah jutaan ringgit, jadi bila ada tawaran sebegini sudah tentu mangsa akan termakan cakap dan terpedaya.

"Ini bermakna dalam kotak pemikiran orang kita ini, memang masih lagi ada sifat tamak dan mahu dapatkan duit dengan cara mudah dan cepat walaupun mereka sebenarnya sedar tentang berita-berita penipuan yang didedahkan melalui media sosial, media cetak dan elektronik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shahul Hamid Abdul Rahim
Shahul Hamid Abdul Rahim

Dalam perkembangan sama, Shahul Hamid berkata, beliau melihat penipuan matawang asing atau 'black money' serta penipuan melalui panggilan palsu adalah yang amat kritikal dan perlu diberi perhatian.

"Terdapat banyak jenis penipuan oleh scammer tetapi dua ini yang saya lihat paling ketara kerana menjanjikan duit dengan mudah," katanya.

Selain itu katanya, pembanterasan aktiviti scammer ini diharapkan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa secara habis-habisan dan bukan bermusim.

"Kita mahu lumpuhkan dan jadikan sifar aktiviti scam di negara kita dan ia harus dijayakan dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi-agensi penguatkuasaan serta media.

"Malah, saya melihat perlu ada lebih ramai pakar forensik komputer di negara ini bagi mengesan pelaku-pelaku atau scammer ini, kerana rangkaian sindiket penipuan ini bergerak secara dalam talian dan menggunakan teknologi maklumat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!