Politik berkepentingan
DENGAN berbaki tiga hari sahaja lagi, kita akan melangkah masuk ke tahun baharu. Seperti lazimnya, ambang tahun baharu selalunya digunakan untuk merefleksi dan bermuhasabah diri, baik secara individu mahupun berkelompok.
Dari sudut siasah, parti-parti politik tanah air barangkali akan melakukan banyak muhasabah sebelum melangkah ke tahun baharu.
Mungkin PH yang perlu lebih banyak melakukannya berbanding parti lain. Prestasi dan penilaian rakyat kepada mereka tahun ini berada pada tahap paling teruk sekali.
Tahun 2019 paling mencabar buat PH setelah tewas empat dari lima Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bermula di Cameron Highlands Januari lalu.
Lebih malang, dua kerusi yang dimenanginya sebelum itu kembali dirampas pembangkang dengan PRK Parlimen Tanjung Piai memperlihatkan peralihan sokongan yang besar pengundi kepada Barisan Nasional (BN).
Walaupun begitu, BN juga masih belum boleh merasa lega dan selesa. BN menerusi gagasan dan pakatan politik baharunya masih belum mampu memikat pengundi bandar serta Malaysia Timur. PRK Balakong dan Sandakan adalah indikasi jelas terhadap perkara itu.
Dengan PRK Kimanis akan membuka gelanggang pertengahan Januari depan, ada sedikit keraguan yang BN boleh menang di situ.
Cumanya, Kimanis merupakan kubu kuat BN ketika Umno Sabah memerintah. Kalau BN mampu memastikan faktor calon, isu dan jentera (CIJ) menyebelahi mereka, maka BN berpeluang mempertahankan kerusi tersebut.
Apapun, resolusi politik tahun baharu akan tetap sama. Tidak kira pemerintah ataupun pembangkang, politik akan selamanya bercakap tentang kepentingan.
Sebab itulah bagaimanapun politik itu dimainkan, siapa pemainnya serta apakah muslihatnya, politik selalunya akan berbalik kepada persoalan ‘kepentingan’.
Kalau ditanya orang politik, kepentingan itu selalunya ditermakan dengan kuasa, habuan dan ganjaran berpolitik. Faktor itulah yang seringkali menjadi matlamat mereka berpolitik dan munafiklah mereka kalau memberikan alasan lain selain daripada itu.
Sedangkan kepentingan sebenar dalam politik sepertimana yang dimaksudkan oleh Aristotle dalam karyanya The Politics adalah satu usaha bernegara untuk mencapai kebaikan bersama (common good). Inilah yang membezakan antara kepentingan politik dengan politik berkepentingan.
Ketika ini, sukar untuk melihat politik dalam konteks Aristotle, namun mudah melihatnya dalam konteks Machiavelli. Kalau ikut Machiavelli, politik hanyalah sekadar merebut dan mempertahankan kuasa dengan mengenepikan prinsip etika dan moral.
Sebab itu politik jelak dan murahan seperti pembunuhan karektor, adu domba dan fitnah dianggap lumrah dalam amalan politiknya. Sudahnya, ia menghindarkan rakyat dari berpolitik lantas menjadikan politik lesu dan negara mundur.
Akhirnya, parti politik yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada agen pemerkasaan politik negara berubah menjadi ‘mafia berlesen’ memegang kuasa.
Akibatnya, negara dikuasai oleh orang-orang rakus yang menggunakan politik untuk kepentingan diri sendiri serta membolot khazanah negara tanpa menghiraukan matlamat dan kepentingan politik yang sebenar.
Sepertimana Adam Smith menerangkan tentang kepentingan (self-interest) menerusi petikan terkenalnya; “...makanan kita bukanlah hadir dari belas ihsan si Tukang Daging, Pembuat Bir atau Tukang Roti untuk kita, tetapi ia hadir daripada keperluan dan kepentingan diri mereka itu sendiri”. Apakah yang dimaksudkan Smith di sini?
Menurut Smith, semua orang termotivasi dengan kepentingan diri masing-masing. Si tukang daging, pembuat bir dan tukang roti itu menyediakan kita dengan hasil produknya kerana mereka tidak akan dapat memperoleh apa yang mereka kehendaki daripada kita tanpa terlebih dahulu memberikan apa yang kita perlukan.
Begitulah juga dalam politik. Orang politik menyediakan khidmatnya kepada pengundi kerana tanpa berbuat demikian, dia tidak akan dapat sokongan dan undi daripada pengundi.
Disinilah motivasi sang politikus harus menjadi perhatian dan penelitian. Takut-takut kalau motivasinya lebih kepada politik berkepentingan berbanding kepentingan politik.
Sebab itulah dalam berpolitik, kita tidak boleh terlalu taksub dan membuta tuli. Kerana takut nanti dalam keghairahan berpolitik, kita hanya dipergunakan sebagai buah catur dalam permainan politik seseorang.
Akhirnya, politikus membuat untung dengan kuasa yang ada dan menciptakan masalah kepada negara. Sedangkan kita hanya dapat penat dan terpaksa pula menanggung masalah yang ditinggalkan oleh orang politik untuk diwarisi sampai mati.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Seremban
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!