Tiada pasangan berkahwin berniat mahu berpisah

Masalah kewangan antara punca utama peningkatan trend perceraian saban tahun. - Gambar hiasan
Masalah kewangan antara punca utama peningkatan trend perceraian saban tahun. - Gambar hiasan
A
A
A

KEBELAKANGAN ini timbul isu perpisahan melibatkan pasangan muda di bawah usia 39 tahun susulan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar penceraian di negara ini meningkat dengan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 pada 2022.

Menurut DOSM, ia meningkat 43.1 peratus dan merupakan kadar tertinggi yang pernah direkodkan sejak 2016.

Mengikut statistik Perkahwinan dan Perceraian itu, perceraian pasangan Islam meningkat 45.8 peratus pada tahun lepas iaitu 46,138 kes berbanding 2021 sebanyak 31,650 kes, manakala perceraian bukan Islam juga meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 kes kepada 16,752 kes dalam tempoh sama.

Memetik laporan tersebut, kes perceraian tertinggi bagi lelaki Islam melibatkan kumpulan umur 30 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 9,196 orang dikuti dengan kumpulan umur 35-39 tahun iaitu seramai 8,894 orang, manakala kumpulan ketiga tertinggi adalah 25 hingga 29 iaitu seramai 6,757 orang.

Sementara itu, kes perceraian wanita Islam pula kelompok usia tertinggi pada 30 hingga 34 tahun seramai 9,631 orang diikuti kumpulan lebih muda iaitu 25 hingga 29 tahun dengan 8,713 orang dan 35 hingga 39 tahun, 8,676 orang.

Dalam pada itu, tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian pasangan Islam iaitu Kedah (113.6 peratus), Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus), manakala bagi bukan Islam di Putrajaya (500 peratus), diikuti Johor (61.5 peratus) serta Melaka (59.0 peratus).

Perkara berkenaan dikongsi Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang berkata, peningkatan tersebut disebabkan oleh kes dibawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya.

Apabila meneliti laporan terbabit, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca utama peningkatan trend perceraian saban tahun seperti masalah kewangan.

Artikel Berkaitan:

Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, kebanyakan kes perceraian didorong masalah kewangan termasuk melibatkan pemberian nafkah, kehilangan pekerjaan serta perbezaan pendapatan antara pasangan yang ketara.

Ujar beliau, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021 dan 2022 menyaksikan ribuan orang kehilangan pekerjaan itu juga antara punca yang menyumbang kepada kes perceraian.

Tambahnya lagi, ramai pasangan menghadiri sesi kaunseling kerana masalah kewangan misalnya sang isteri tidak berpuas hati apabila suami tidak memberi nafkah atau pendapatan sedikit.

Pun begitu, melihat kepada situasi sedemikian, ia sedikit sebanyak mampu membuatkan golongan bujang merasa lebih baik tidak menikah asalkan mampu membahagiakan diri sendiri berbanding berkahwin, namun terpaksa ‘makan hati’ dengan pasangan sendiri.

Ia kerana dalam fikiran mereka, pasangan yang dilihat mesra di khalayak ramai dan bahagia menjalani bahtera rumah tangga tidak semestinya kelihatan sama seperti itu di belakang tabir.

Justeru, sentimen sebegitu dikhuatiri menyumbang kepada penurunan bilangan perkahwinan dalam negara pada masa akan datang setelah menyaksikan beberapa siri kegagalan rumah tangga daripada orang sekeliling.

Apa pun, tiada pasangan yang berkahwin tiba-tiba menyimpan niat untuk berpisah, namun begitu dinasihatkan agar berusaha sebaik mungkin dan bertoleransi dalam mencari jalan penyelesaian bagi mempertahankan rumah tangga masing-masing.

Banyak perkara perlu dipertimbangkan dari segi penerimaan keluarga dua belah pihak setelah sekian lama menjalinkan hubungan kekeluargaan, kebajikan anak-anak hasil perkahwinan serta persepsi masyarakat yang kadang kala di luar jangkaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!