'Tak sangka, macam dalam mimpi'

Nur Aisyah (kiri) meraikan kejayaannya ketika menjuarai acara elit wanita Kejohanan Kebangsaan 2021 di Melaka.
Nur Aisyah (kiri) meraikan kejayaannya ketika menjuarai acara elit wanita Kejohanan Kebangsaan 2021 di Melaka.
A
A
A

PELUMBA wanita negara, Nur Aisyah Mohamad mengakui terkejut apabila dipilih bagi mengisi satu kuota dalam acara lebuh raya pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi Nur Aisyah, keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memilihnya untuk menggalas cabaran di bumi Paris nanti bagaikan rezeki yang datang menggolek.

“Syukur Alhamdulillah apabila nama saya dipilih untuk mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik di Paris tahun depan. Memang saya tak sangka dan rasa macam dalam mimpi.

“Apapun saya mahu berterima kasih kepada coach Amir (Mustafa Rosli) atas kepercayaan yang diberikan.

"Peluang beraksi pada Olimpik ini umpama rezeki buat saya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, Nur Aisyah dipilih sebulat suara oleh Biro Lebuhraya PKBM dalam mesyuarat khas yang diadakan di Velodrom Kebangsaan Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis.

Dengan pemilihannya ke Paris, Nur Aisyah melakar sejarah tersendiri apabila muncul pelumba wanita pertama negara beraksi dalam acara berbasikal lebuh raya temasya Olimpik.

Pelumba berusia 26 tahun kelahiran Kemaman, Terengganu itu yang juga juara kebangsaan tiga kali berturut-turut dipilih bersandarkan prestasi konsisten selain berada dalam ranking teratas.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, terakhir skuad berbasikal lebuh raya negara mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki - Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa.

“Insya-ALLAH peluang yang ada ini saya tidak akan persia-siakan. Selagi daya dan selagi ada kemampuan, saya akan berusaha sehabis baik di Paris nanti.

“Seperti yang kita tahu, Sukan Olimpik menampilkan atlet terbaik dunia. Ini satu pengalaman berharga buat saya apabila dapat bersaing dengan pelumba terbaik dunia,” ujar Nur Aisyah.

PKBM turut menyenaraikan Phi Kun Pan, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad dan Yeong Zhen Yi selaku pelumba simpanan bagi membantu Nur Aisyah membuat persiapan menjelang Olimpik 2024.

Malaysia layak secara merit ke Paris menerusi slot benua Asia selepas menamatkan perlumbaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas dalam kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!