DUN Pulau Pinang lulus usul solidariti Palestin
GEORGE TOWN - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, pada Jumaat meluluskan usul solidariti untuk rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman Zionis Israel.
Usul yang dibuat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu diluluskan selepas kesemua wakil rakyat bangun menandakan sokongan sebulat suara mereka terhadap usul berkenaan.
Kon Yeow berkata, usul tanpa memberitahu itu tidak dibahaskan kerana Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah mewakili pendirian kerajaan dalam ucapan perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) ke-15, di sini Jumaat lalu.
"Usul ini dibawa ke dalam Dewan dan saya tidak bercadang untuk menambah lebih banyak memandangkan ucapan Tun telah mewakili pendirian kerajaan.
"Selain itu, isu ini mendapat perhatian yang mana ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menunjukkan keprihatinan dengan membahaskannya di dalam Dewan.
"Exco juga menunjukkan pendirian tegas terhadap kekejaman dan kezaliman yang dilakukan rejim Israel," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh ahli Dewan untuk menunjukkan solidariti mereka bagi membolehkan usul tersebut diteruskan tanpa perlu dibahas.
Sebelum ini, Ahmad Fuzi menggesa semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.
Ahmad Fuzi turut mengecam tindakan ganas tentera Israel yang membunuh dan melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin.
Dalam pada itu, sebagai ahli komuniti global yang bertanggungjawab dan prihatin, beliau juga meminta semua pihak perlu berusaha untuk membantu keperitan yang dilalui oleh mangsa di negara terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!