Van Dijk kembali reputasi pertahanan terbaik dunia
KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk percaya sudah mula kembali berada pada prestasi terbaiknya menjelang pertembungan dengan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Reputasi Van Dijk sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik dunia dikritik selepas mengalami kecederaan lutut pada Oktober 2020 yang menyaksikan dia terpaksa diketepikan selama sembilan bulan.
Pemain kelahiran Belanda itu mengakui bahawa dia berada di bawah prestasi terbaik ketika Liverpool menduduki tempat kelima musim lalu.
Namun, dia percaya terdapat peningkatan dalam prestasinya musim ini untuk meletakkannya kembali sebagai pertahanan terbaik dunia.
“Tahun lalu menyaksikan ada pasang surut dalam permainan saya. Saya berpegang kepada standard yang sangat tinggi dan saya masih begitu.
"Itulah yang saya cipta dan nikmatinya. Jika itu tidak berlaku maka ada sesuatu yang tidak betul.
“Tetapi saya rasa berada dalam masa yang baik dari segi fizikal dan mental. Saya berasa sangat baik dan mahu teruskan," katanya.
Van Dijk juga telah menepis kritikan yuang dilontarkan dan percaya Liverpool mampu untuk mencatatkan keputusan positif ke atas City.
“Bagi saya perkara yang paling penting ialah perasaan saya, perasaan rakan sepasukan tentang saya terutamanya pengurus. Saya tidak boleh melakukan apa-apa terhadap kritikan dari luar, sama ada ia baik atau buruk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!