Jeda kemanusiaan di Gaza bermula hari ini
DOHA - Jeda kemanusiaan di Semenanjung Gaza akan bermula pada Jumaat, 7 pagi waktu Gaza (12 tengah hari Waktu Malaysia), menurut Kementerian Luar Qatar.
Jurucakap Kementerian Luar Dr. Majed bin Mohammed Al Ansari dalam sidang media pada Khamis berkata, perbincangan antara Hamas, Israel dan pihak pengantara telah pun selesai, lapor Agensi Berita Qatar.
Beliau berkata, sebaik sahaja jeda kemanusiaan berkuat kuasa, bantuan akan mula disalurkan melalui persimpangan Rafah dengan penyelarasan Mesir.
Mengenai komitmen untuk melaksanakan jeda kemanusiaan itu, Al Ansari berkata: "Qatar melihat isu ini secara positif dan yakin kedua-dua pihak akan memberi komitmen sepenuhnya".
Beliau berkata, turut dipersetujui bahawa gencatan senjata sepenuhnya akan dilaksanakan semasa jeda kemanusiaan dan berharap kedua-dua pihak mematuhinya.
Al Ansari berkata, Qatar berharap jeda kemanusiaan itu akan menyumbang kepada lebih banyak usaha untuk mencapai keamanan dan gencatan senjata yang berkekalan. - Bernama-QNA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!