Penyakit misteri: China tidak kesan sebarang patogen luar biasa

WHO mendakwa kawasan utara China merekodkan peningkatkan penyakit seperti influenza sejak pertengahan Oktober lalu berbanding tempoh sama kira-kira tiga tahun lalu. - Foto: AFP
WHO mendakwa kawasan utara China merekodkan peningkatkan penyakit seperti influenza sejak pertengahan Oktober lalu berbanding tempoh sama kira-kira tiga tahun lalu. - Foto: AFP
A
A
A

BEIJING - Pihak berkuasa kesihatan China tidak mengesan sebarang novel patogen luar biasa ketika menjawab tentang peningkatan kes masalah pernafasan dan kemunculan kluster pneumonia atau radang paru-paru dalam kalangan kanak-kanak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

Respons itu diberikan sehari selepas WHO meminta Beijing memberikan maklumat lanjut dan telus berdasarkan laporan beberapa kumpulan termasuk Program untuk Pemantauan Kemunculan Penyakit (ProMED) yang mendedahkan tentang 'penyakit misteri' tidak didiagnos berkaitan pneumonia yang menyerang golongan budak di utara China.

Amaran ProMED itu berdasarkan laporan FTV News di Taiwan pada Selasa.

WHO telah mendapatkan maklumat klinikal dan epidemiologi serta keputusan makmal melalui mekanisme Peraturan Kesihatan Antarabangsa.

Data menunjukkan peningkatan itu dikaitkan dengan penarikan sekatan Covid-19 bersama-sama dengan peredaran patogen seperti mycoplasma pneumoniae iaitu jangkitan bakteria biasa yang biasanya memberi kesan kepada kanak-kanak yang lebih muda dan telah menular sejak Mei lalu.

Difahamkan, influenza, virus sinsitium pernafasan (RSV) dan adenovirus juga telah beredar sejak Oktober.

WHO bagaimanapun tidak mengeluarkan saranan mengenai perjalanan dan perdagangan kerana situasi itu sedang dipantau.

Ia bagaimanapun memutuskan untuk mendapatkan pengesahan dari Beijing dan meminta ia berkongsi maklumat yang tersedia bagi menjawab persoalan tentang kemunculan 'penyakit misteri' tersebut setelah wabak Covid-19 sebelum ini dipercayai turut berasal dari negara Asia Timur tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagi meredakan kebimbangan ramai, China mengesahkan tiada patogen luar biasa dikesan di ibu kota dan wilayah timur laut Liaoning. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!