Muhyiddin umum tidak pertahan jawatan

Muhyiddin ketika ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.
Muhyiddin ketika ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti itu akan datang.

Pengumuman berkenaan dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis menerajui parti.

“Pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba.

“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam masa sama turut mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah bagi mengenal pasti tokoh yang layak untuk meneruskan perjuangan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, langkah itu penting bagi memastikan kekuatan yang ada pada parti dapat digembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.

“Ini adalah Perhimpunan Agung (Bersatu) kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli parti sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti,” katanya.

Muhyiddin
Muhyiddin

Pada akhir ucapannya, Muhyiddin turut berpesan supaya bakal pemimpin yang akan dipilih nanti dapat menjaga parti dengan sebaiknya.

Sementara itu, hampir kesemua perwakilan yang berada di dalam dewan berdiri sebaik mendengar pengumuman mengejut yang dibuat Muhyiddin.

Perwakilan yang hadir juga turut mendesak supaya ahli Parlimen Pagoh itu menarik balik keputusan berkenaan.

Muhyiddin mula menerajui Bersatu sejak 14 Januari 2017 sebaik sahaja pendaftaran parti yang dibuat pada Ogos 2016 diluluskan.

Beliau menjadi Presiden parti, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu bertindak sebagai Pengerusi.

Bersatu ditubuhkan Muhyiddin bersama beberapa lagi pemimpin UMNO lain selepas dipecat daripada parti itu.


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

Bersatu jadi sasaran PH kerana kuat - Muhyiddin

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa partinya kini menjadi sasaran Pakatan Harapan (PH) kerana dianggap sebagai saingan mereka.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, keadaan tersebut berlaku kerana pihak lawan bimbang dengan kekuatan yang dimiliki partinya.

“Jangan gundah-gulana bila kita diserang. Jangan takut dan menikus bila kita menjadi sasaran. Inilah mehnah dan tribulasi apabila kita berpegang teguh dan berakar dengan idealisme perjuangan kita.

“Jangan ingat semua orang boleh dibeli dan disogok dengan laba. Jangan goyah apabila parti kita ini diuji. Kita diuji kerana kita kuat. Kita diuji kerana tekad dan keteguhan kita. Kita diuji kerana keikhlasan kita memperjuangkan nasib rakyat.

“Justeru, jangan goyah dengan ujian kerana saat itulah martabat dan harakat kita sedang diangkat untuk kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Naib Presiden Bersatu; Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu; Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Setiausaha Agung Bersatu; Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Muhyiddin menambah, idealisme dan jalur besar perjuangan Bersatu bertunjangkan cita-cita untuk memastikan negara ini makmur, demokratik, adil dan saksama serta prihatin rakyat.

Katanya, keazaman untuk meneruskan cita-cita murni rakyat, iltizam politik dan prinsip perjuangan yang teguh merupakan faktor kejayaan partinya melakukan perubahan besar landskap politik negara dengan lonjakan sokongan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!