Dua individu rugi lebih RM179,000
KUANTAN - Dua individu di negeri ini kerugian lebih RM179,000 akibat diperdaya sindiket penipuan jual beli saham dan tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama melibatkan seorang juruteknik berusia 41 tahun di Kuantan.
Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa kerugian RM85,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi Instagram.
"Mangsa melayari laman Instagram jual beli saham pada Ogos lalu dan menekan pautan tertera sebelum disambung ke satu kumpulan WhatsApp untuk penerangan berkenaan pembelian saham tersebut.
"Melalui penerangan diberikan, mangsa (pelabur) hanya perlu mengikut arahan untuk membeli dan menjual saham mengikut masa ditetapkan. Keuntungan akan dibayar segera dalam tempoh dua hari.
"Tertarik dengan keuntungan lumayan dijanjikan, mangsa menyertai pelaburan itu dan membuat bayaran melalui akaun bank yang diberikan," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, mangsa juga diberikan aplikasi platfom untuk jual beli saham untuk urusan tugasan.
"Sepanjang tempoh bermula 31 Oktober sehingga 20 November lalu, mangsa berjaya diperdaya hingga membuat sembilan transaksi berjumlah RM85,000 sebelum menyedari ditipu," katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang wanita menjadi mangsa tawaran kerja sambilan promosi hotel secara dalam talian tidak wujud hingga kerugian RM94,404.
Yahaya berkata, mangsa berusia 47 tahun tertarik dengan tawaran itu selepas melihat iklannya melalui sebuah akaun di Facebook.
"Mangsa berurusan dengan seorang wanita (suspek) melalui aplikasi WhatsApp dan berminat untuk tugasan yang ditawarkan.
"Tugasan diberikan hanya memuat naik ulasan hotel melalui aplikasi dan akan menerima bayaran selepas menyiapkan kesemua tugas diberikan setiap hari," katanya.
Kata beliau lagi, mangsa bagaimanapun diminta membuat bayaran pendahuluan untuk tempahan hotel dan telah melakukan lima promosi.
"Pada masa sama, wanita itu juga telah diperdaya hingga membuat 20 transaksi pindahan wang ke 12 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM96,504.
"Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan di sebuah balai polis di Rompin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!