Lebih banyak operator feri, lebih baik - Sanusi
ALOR SETAR - Operator feri ke Langkawi yang terdiri daripada pelbagai syarikat berbeza akan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan tersebut, sekali gus menawarkan lebih pilihan kepada penumpang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bukan sahaja akan menguntungkan pengguna malah kewujudan saingan sihat dalam perkhidmatan tersebut juga akan dapat meningkatkan tahap syarikat pengendali feri sedia ada.
"Kalau lebih banyak (operator feri) lebih rancak. Penumpang masing-masing akan cari penyedia feri yang memberikan perkhidmatan terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di sini, petang Khamis.
Beliau diminta mengulas mengenai isu yang tular di media sosial pada Khamis mengenai sebuah operator feri yang mendakwa permohonan syarikat itu untuk mengadakan perkhidmatan feri ke Langkawi tidak berjaya walaupun sudah memenuhi syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, selain perkhidmatan feri, mana-mana syarikat juga boleh mengadakan perkhidmatan teksi laut ke Langkawi.
"Teksi laut tambang mahal tapi boleh buat...ada orang buat.
"Kalau ada kecemasan, nak cepat ke Langkawi boleh guna teksi laut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!