APMM tahan empat nelayan Myanmar

Anggota penguatkuasa memeriksa salah seorang nelayan asing yang ditahan di perairan negara. - Foto APMM Zon Kemaman
Anggota penguatkuasa memeriksa salah seorang nelayan asing yang ditahan di perairan negara. - Foto APMM Zon Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman menahan empat nelayan warga Myanmar kerana menangkap ikan di perairan negara kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, dua bot fiber yang dinaiki nelayan itu dikesan ketika berada di kedudukan dua batu nautika dari Kuala Kemaman.

Menurutnya, pemeriksaan terus dilakukan selepas mendapati kehadiran dua bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sejurus menyedari kehadiran kami, mereka cuba melarikan diri tetapi gagal kerana sekitar kawasan sudah dikepung.

"Hasil pemeriksaan lanjut, mereka hanya memiliki kad UNHCR (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) dan gagal mengemukakan lesen serta permit kebenaran menangkap ikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Salah sebuah bot fiber milik nelayan asing yang ditahan di perairan negara. - Foto APMM Zon Kemaman
Salah sebuah bot fiber milik nelayan asing yang ditahan di perairan negara. - Foto APMM Zon Kemaman

Rashidilhadi berkata, pihaknya turut merampas 20 kilogram ikan campur serta peralatan menangkap ikan yang bernilai keseluruhan RM60,000.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 untuk awak-awak manakala bot boleh dilucut hak," katanya.

Katanya, APMM Zon Maritim Kemaman akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang Maritim bagi memastikan perairan Malaysia sentiasa terjaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!