Anwar serius selesai isu MA63, pastikan Sabah tidak ketinggalan
KOTA KINABALU - Setahun memegang jawatan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan pelbagai usaha untuk Sabah terutama merealisasikan apa terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan daripada pembangunan, sosioekonomi rakyat dan pelbagai sektor penting.
Penganalisis dan ahli akademik yang ditemu bual Bernama berpendapat, Anwar benar-benar serius dalam memastikan perjanjian pembentukan Malaysia yang dimeterai pada 1963 itu dilaksanakan sepenuhnya seterusnya memberikan impak besar dalam kehidupan rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu.
Penganalisis politik tempatan, Musli Oli berkata, dalam konteks itu, keseriusan itu dapat dilihat apabila Anwar bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berjaya memuktamadkan pelbagai perkara antaranya pemberian kembali kawal selia gas kepada Sabah.
Beliau berkata, ia memperlihat bahawa betapa Perdana Menteri Ke-10 itu benar-benar memahami konsep dan prinsip sistem Persekutuan diamalkan serta kepentingannya untuk kemakmuran negara ini, sepertimana Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
"Justeru masalah (isu MA63) sekarang bukan peringkat pembuat keputusan, bukan masalah dasar kerana Anwar memahami perkara ini, sebaliknya masalah perlaksanaan. Orang politik mungkin faham status dan hak Sarawak Sabah tetapi ada kakitangan awam tidak faham atau pura-pura tidak faham.
"Tetapi selagi MA63 tidak dilaksana sepenuhnya, selagi itu wujud perasaan tidak puas hati rakyat di Sabah dan Sarawak yang boleh menjejaskan hubungan dalam sistem Persekutuan itu sendiri,” katanya kepada Bernama.
Musli berkata, dalam tempoh setahun menjadi Perdana Menteri, Anwar telah melakukan beberapa perkara untuk menstabilkan ekonomi negara dan ia perlu dipuji kerana ada perkara yang dilakukannya itu bukan sesuatu yang mudah seperti tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.
Selain itu, subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan pada masa kini juga mampu memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak memperoleh subsidi itu yang penting bagi membantu rakyat Sabah sendiri.
"Cuma kaedah pelaksanaan kena jelas. Tidak boleh mengejut. Kena bagi rakyat faham dulu sebab musabab, kena pastikan waktu pelaksanaan bekalan cukup. Sekarang ini di Sabah lebih senang cari tapak kaki gajah daripada cari gula dan minyak masak paket,” katanya.
Pada Januari lepas, Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023, berikutan pengembalian kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah yang merupakan langkah digerakkan Anwar dan Hajiji dalam merealisasi MA63.
Mengulas perkara itu, penganalisis Geopolitik Borneo Universiti Malaysia Sabah (GeoPES UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, langkah Anwar dan Hajiji itu merupakan peluang terbaik untuk Sabah memanfaatkan hasil gas asli bagi menjadi sumber peruntukan perbelanjaan untuk pembangunan serta kemajuan.
Usaha itu, katanya, mampu memberikan impak besar seperti diharap rakyat Sabah apabila serahan kuasa kawal selia gas itu dilakukan secara telus, struktural dan secara total kerana Sabah amat memerlukan sumber gas aslinya demi memastikan kelangsungan kemajuan negeri berjalan lancar.
"Dalam pelaksanaan dasar berkaitan gas asli, minyak dan mineral serta hasil bumi ini perlu dibuat secara telus dan tidak dibayangi kepentingan politik atau tujuan pihak tertentu. Apabila dasar ini dimanifestasi secara berintegriti, ia akan menguntungkan rakyat Sabah sendiri,” katanya.
Mengulas usaha meminimumkan kesan kenaikan harga barangan terhadap kos sara hidup dan pembangunan, beliau berkata kerajaan diterajui Anwar mampu melaksanakannya dengan dasar berkaitan, antaranya dasar kabotaj bagi meminimumkan kos pembelian barangan untuk Sabah dan Sarawak.
"Dasar pembangunan sepatutnya diukur berpandukan penanda aras kemajuan peringkat persekutuan di mana Sabah dan Sarawak perlu disegerakan dari segi pembangunan infrastruktur agar seimbang atau menyamai kemajuan di negeri-negeri di Semenanjung seperti Selangor dan Johor.
"Dasar berkaitan sumber manusia dan peluang pelaburan di kedua-dua negeri perlu diperkasakan di mana sektor perkilangan, pengeluaran dan teknologi perlu diperbanyakkan agar rakyat di negeri ini tidak perlu merantau keluar dari negeri-negeri ini untuk mendapatkan pekerjaan,” tambahnya.
Pensyarah Kanan UMS, Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar dilihat berupaya memenuhi harapan tersebut dengan pembaharuan dijanjikannya sebelum memegang jawatan nombor satu negara itu dan sedang memastikan ia dilaksana dengan kadar tuntas.
Beliau berkata, di sebalik berada atas landasan terbaik, masih ada ruang untuk penambahbaikkan seperti penumpuan terhadap pembangunan bagi negeri yang memerlukan seperti Sabah sendiri, justeru usaha Anwar merealisasi hak-hak dua negeri ini dalam MA63 itu amat penting.
Katanya, masih banyak isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak yang perlu ditangani secara lebih tegas dan berhemah, malah keadaan ekonomi negara dan dunia yang masih tidak menentu mungkin menjadi antara faktor penyebab kepada kesukaran merealisasi hasrat tersebut.
"Diharap Perdana Menteri dan barisan kepimpinan akan lebih tegas dalam hal ini. Menilai pencapaian Anwar dalam tempoh satu tahun pentadbiran (Anwar), masih berhadapan banyak cabaran dan diharap beliau mampu mengharungi cabaran tersebut dengan jaya,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!