Kes buli MCKK: Tiada usaha berdamai pihak terlibat - Polis
IPOH - Tiada usaha berdamai dilakukan kedua-dua pihak dalam kes buli membabitkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini pihak yang terlibat tidak memberi sebarang cadangan penyelesaian kes secara baik atau menarik balik laporan kes berkenaan.
"Kita tidak menerima usaha-usaha ke arah itu. Kedua-dua pihak pun, ibu bapa dan sekolah tidak ada yang berurusan atau berhubung dengan polis untuk menarik balik kes tersebut," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar kejayaan Op Tapis Khas Kontinjen Perak di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kertas siasatan kes tersebut akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara seawalnya Isnin ini.
Katanya, laporan penuh perubatan mangsa telah diperoleh pada Jumaat bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan sepertimana diperlukan.
"Kita hanya menunggu laporan lengkap daripada Hospital Kuala Kangsar, itu sahaja.
"Kalau dah lengkap kita akan hantar semula kepada Jabatan Peguam untuk menerima arahan seterusnya, didakwa atau sebagainya," katanya.
Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Sebelum ini, tular di laman Instagram memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior.
Turut tular sepucuk surat rayuan keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam kenyataannya memaklumkan, polis sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan pada 24 September lalu.
Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!