Search sedia 'takluk', gegarkan JB

Din (tengah) bersama anggota Search dan XPDC selepas mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Search Voyage of Asia dan Hari Rock Negara Edisi Selatan di sebuah hotel di Iskandar Puteri, pada malam Khamis
Din (tengah) bersama anggota Search dan XPDC selepas mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Search Voyage of Asia dan Hari Rock Negara Edisi Selatan di sebuah hotel di Iskandar Puteri, pada malam Khamis
A
A
A

KUMPULAN Search sudah sedia 100 peratus untuk 'menakluk' dan menggegarkan menerusi konsert Search Voyage of Asia yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Educity di sini pada malam Sabtu.

Menariknya, kumpulan legenda rock kelahiran Johor itu akan membuat persembahan sulung dengan vokalis baharu mereka di Johor Bahru iaitu Denden Gonjalez dari Indonesia yang sudah pun dua tahun bersama Search.

Menurut pemain gitar Search, Nordin Mohd Taib atau lebih dikenali sebagai Din, mereka sudah bersedia untuk menghiburkan peminat yang bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi juga dijangka dari seluruh negara.

"Search akan membawakan 18 lagu selain lagu-lagu medley.

"Pastinya penonton yang hadir akan berpuas hati dan terhibur dengan persembahan yang merupakan antara konsert berharga Search tahun ini.

"Kita tidak akan lupa untuk menyajikan lagu-lagu popular Search termasuk Isabella dan Fantasia Bulan Madu kerana itu adalah permintaan wajib peminat apabila Search mengadakan persembahan," katanya.

Beliau yang terkenal dengan jolokan 'King Of Rhythm' berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Search Voyage of Asia dan Hari Rock Negara Edisi Selatan di sebuah hotel di sini pada malam Khamis.

Mengenai penampilan dan keserasian Denden bersama Search, Din berkata, sudah pasti ada yang membandingkannya dengan vokalis terdahulu, Amy, namun vokalis dari negara seberang itu bijak membawa diri dan menambat hati peminat.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga kritikan kita terima, tetapi kita ambil secara positif sahaja.

"Denden juga sentiasa buat yang terbaik dan tambah baik prestasinya.

"Kini, beliau sudah serasi bersama Search.

"Konsert ini adalah persembahan pertama Denden di Johor Bahru, tetapi ia persembahan besar keenam beliau bersama kami, ini bukti beliau sudah boleh diterima peminat," katanya.

Anggota Search dan XPDC bersama Kombat (kanan sekali) dan pihak pengurusan konsert Search Voyage of Asia sedia 100 peratus untuk persembahan di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri pada malam Sabtu.
Anggota Search dan XPDC bersama Kombat (kanan sekali) dan pihak pengurusan konsert Search Voyage of Asia sedia 100 peratus untuk persembahan di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri pada malam Sabtu.

Selain Search yang menampilkan Din dan Denden, Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) akan turut beraksi, konsert Search Voyage of Asia turut menyaksikan penampilan khas kumpulan rock XPDC yang akan membuat persembahan pembukaan.

Pemain dram XPDC, Amy pula berkata, kumpulan itu akan tampil selama 45 minit pertama konsert dengan lima hingga enam lagu akan disajikan.

"Kita akan persembahkan lagu-lagu XPDC yang jarang kita mainkan, tetapi sudah pasti peminat tahu akan lagu itu.

"Ini juga kali kedua penampilan Ary selaku vokalis selepas persembahan pertama kami di Singapura sebelum ini," katanya.

Sementara itu, wsakil penganjur C&M Music Centre Sdn Bhd, Adib Abdullah berkata, pihaknya yakin kapasiti 4,000 dalam stadium tersebut mampu dipenuhi pada malam Sabtu bukan sahaja oleh peminat Search, tetapi penggemar muzik rock tanah air.

Katanya, persiapan pentas juga sudah siap hampir 80 peratus dengan penjualan 'merchandise' juga yang mendapat sambutan.

"Setakat ini kita menerima maklum balas ramai yang ingin membeli tiket secara 'walk in', jadi kita sudah bersedia untuk menjual semua tiket

yang tinggal terutamanya bagi tempat duduk kategori VIP.

"Kita yakin menjelang malam konsert (esok), semua tiket akan habis dijual," katanya.

Dalam pada itu, pengasas Hari Rock Negara, Kombat dari Kombat Records berkata, penganjuran Hari Rock Negara adalah bagi menyatukan kembali kumpulan rock tanah air bagi mengubat kerinduan peminat.

Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang Hari Rock Negara Edisi Selatan adalah zumba, persembahan kumpulan rock dan 'busker' tempatan, forum, pelancaran Tabung Palestin selain reruai jualan, katanya.

"Selain kita bawakan kumpulan rock lama, ini antara cara kita membantu mereka juga untuk menjana pendapatan dengan berniaga. Jadi, pengunjung bukan sahaja boleh saksikan beberapa kumpulan lama membuat persembahan, tetapi boleh juga bertemu mereka di gerai jualan mereka.

"Kita mahu orang ramai bertemu pemain atau peminat muzik rock dengan lebih dekat, sekali gus dapat membuang persepsi buruk terhadap komuniti 'rockers' yang sering dipandang tidak baik," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!