Seleweng dana RM70 juta: SPRM kenal pasti aset Aman Palestin

Gambar kecil: Azam
Gambar kecil: Azam
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengenal pasti aset-aset pertubuhan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) yang dipercayai diperoleh hasil penyelewengan RM70 juta dana orang awam.

Menurut sumber, kesemua aset berkenaan dalam tindakan untuk sitaan.

"Buat masa ini, keterangan ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan masih belum diambil oleh SPRM, namun, sebanyak 11 saksi telah dirakam keterangan,” katanya pada Jumaat.

Tambah sumber, sembilan daripada 41 akaun bernilai lebih RM15.86 juta yang dibekukan adalah akaun yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin, manakala, dua akaun lagi milik sebuah syarikat dan selebihnya merupakan akaun melibatkan tujuh individu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, SPRM mengesahkan telah membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.00 hasil siasatan yang dijalankan sejak 17 Oktober lalu.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menyiasat dakwaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM turut melakukan penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu selain telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!