MAIS sumbang RM200,000 untuk Palestin

Penyampaian replika cek sumbangan disempurnakan Abdul Aziz (kanan) kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj seterusnya diserahkan kepada Hakimah (kiri).
Penyampaian replika cek sumbangan disempurnakan Abdul Aziz (kanan) kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj seterusnya diserahkan kepada Hakimah (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Musaadah Tabung Kecemasan Misi Kemanusiaan kepada Rakyat Palestin.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sumbangan adalah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin terlibat peperangan bagi membantu dan meringankan beban dan penderitaan di negara mereka.

Menurutnya, sumbangan dana itu adalah daripada peruntukan sumber Wang Baitulmal MAIS kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyelaras sumbangan Musaadah Tabung Kecemasan Misi Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin.

Selain itu, jelasnya, sumbangan MAIS ini juga bertujuan sebagai tanda sokongan MAIS terhadap Musaadah Tabung Kecemasan Misi Kemanusiaan kepada Rakyat Palestin yang sentiasa menyokong inisiatif murni dan misi manusia sejagat termasuk membantu meringankan kesengsaraan sedang dialami rakyat Palestin.

"MAIS juga menyeru dan mengingatkan khususnya kepada umat Islam di Selangor agar terus menyokong saudara Islam di Palestin dan jika ingin menyalurkan sumbangan pastikan menerusi pihak yang tepat dan diberikan tanggungjawab oleh kerajaan.

"Teruskan berdoa, menunaikan solat hajat dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi untuk keselamatan rakyat Palestin. Kebersamaan kita terutamanya melalui doa dan sokongan ini perlu sentiasa ada untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, penyampaian replika cek sumbangan disempurnakan Abdul Aziz kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj seterusnya diserahkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Penyerahan itu dibuat pada Majlis Pelancaran Laman Web Khutbah dan Penyerahan Dana Tabung Kemanusiaan Palestin di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!