Galeri 3D Gua Kelam tarikan baharu di Perlis
KANGAR - Pembukaan Galeri 3D pertama di Perlis yang menelan belanja sebanyak RM150,000 mendapat perhatian ramai pengunjung dalam dan luar negeri sejak ia mula dibuka Khamis lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Asmaiza Ahmad berkata, galeri yang terletak di Gua Kelam itu belum dibuka secara rasmi meskipun sudah siap sepenuhnya.
Menurutnya, sejak 26 Disember lalu, pengunjung dibenarkan masuk atas dasar permulaan untuk promosi.
"Kita terkejut dengan kehadiran pelancong kerana pada hari pertama pembukaan, pendapatan yang diperoleh melalui jualan tiket lebih RM3,000 sedangkan tiket yang dijual hanya RM1 untuk kanak-kanak dan RM2 untuk dewasa," katanya.
Asmaiza berkata, pembinaan Galeri 3D itu berkonsepkan lima elemen iaitu flora fauna, hutan tropika, perlombongan, gua dan juga hutan Malaysia.
"Sebelum ini bangunan galeri ini terbiar agak lama dan alhamdulillah dengan kerjasama pasukan pelukis dan semua pihak, galeri ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang singkat," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Katanya, pihaknya yakin dengan kewujudan Galeri 3D itu jumlah pelancong yang datang ke Perlis akan meningkat.
Sementara itu, pengunjung, Halimah Mat Kassim, 36, berkata, dia datang dari Kuala Lumpur untuk melawat anak-anaknya yang menetap di sini.
"Bila dapat tahu ada Galeri 3D ini rasa teruja nak datang lihat sendiri dan alhamdulillah harga tiketnya sangat murah," katanya.
Julia Azmi, 52, pula berkata, dia datang dari Parit Buntar Perak bersama rakan-rakannya.
"Kawan-kawan saya dari Negeri Sembilan datang ke rumah jadi saya bawa mereka ke sini.
"Galeri 3D ini menarik kerana berkonsepkan alam dan sesuai dengan semua peringkat lapisan umur," katanya.
Hadir sama meninjau keadaan Galeri 3D Gua Kelam, Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Awang Shafie Awang Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!