Bersatu Johor cadang beri pendidikan percuma kepada B40
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mencadangkan supaya kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar atau mahasiswa golongan B40 yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau bidang teknikal.
Ketua Penerangannya, Muhammad Islahuddin Abas berkata, langkah itu penting bagi memastikan tidak timbul lagi isu pelajar daripada keluarga miskin tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya.
“Kita melihat bagaimana anak luar bandar yang tercicir bukan setakat memasuki universiti atau selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malah ada yang masih bersekolah pun terpaksa berhenti kerana tidak cukup wang.
“Jadi, sekiranya kerajaan dapat memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak B40 ini saya yakin sebenarnya ramai yang hendak sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
“Sekiranya perkara ini boleh dilaksanakan kerajaan, saya rasa sangat baik khasnya untuk golongan tidak berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 kali ke-6 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.
Tambahnya, cadangan yang dibawa itu juga selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang berhasrat untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Kita faham pendidikan percuma sukar untuk dilaksanakan kerana melibatkan kos yang besar. Jadi laksanakan pendidikan percuma untuk pelajar atau mahasiswa B40 ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!