Wujudkan kembali jawatan pengerusi, beri kepada Muhyiddin - Bersatu Johor

Muhammad Islahuddin
Muhammad Islahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mewujudkan kembali jawatan pengerusi untuk diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau tetap dengan pendirian tidak mahu mempertahankan kerusi presiden yang disandangnya ketika ini.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Muhammad Islahuddin Abas berkata, ia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Kami Bersatu Johor mencadangkan dengan berat hati sekiranya Tan Sri (Muhyiddin) masih tidak mahu (lagi) memegang jawatan presiden pada penggal akan datang supaya wujudkan kembali jawatan Pengerusi Bersatu secara berperlembagaan.

“Kita lihat sendiri beliau mula (wujudkan Bersatu) dengan hanya dua orang ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Hari ini kita sudah ada 31 ahli Parlimen dan 60 ADUN serta boleh menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).

“Jadi, segala pengalaman yang Tan Sri ada kita perlu kekalkan dalam Bersatu supaya turut bersama kepimpinan (baharu nanti),” katanya.

Beliau berkata ketika sidang akhbar selepas selesai perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 kali ke-6 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Jumaat.

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasar mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2017 pada pemilihan parti akan datang bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Muhyiddin mula menerajui Bersatu sejak 14 Januari 2017 sebaik sahaja pendaftaran parti yang dibuat pada Ogos 2016 diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjadi Presiden parti, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu bertindak sebagai Pengerusi.

Bersatu ditubuhkan Muhyiddin bersama beberapa lagi pemimpin UMNO lain selepas dipecat daripada parti itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!