'Kami tak halau, empat beradik diambil bapa sendiri'
PARIT - Ahli keluarga menafikan menghalau keluar empat beradik sehingga ditemui ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah pada Khamis.
Individu yang mahu dikenali Ismail, 30, itu berkata, pada hari kejadian, empat kanak-kanak itu dibawa keluar oleh bapa mereka dengan menunggang sebuah motosikal.
Menurutnya, bapa kanak-kanak itu ada memaklumkan kepada ahli keluarga mahu menghantar mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan jagaan kerana dia dan isteri sudah tidak tinggal bersama.
"Mereka keluar rumah sekitar jam 10 pagi untuk ke Pejabat JKM di Kampung Gajah, kami tidak menghalang kerana sebelum ini perkara itu memang sudah dibincangkan.
"Cuma kami tak sangka, perkara sebaliknya pula berlaku hingga menyebabkan keadaan empat beradik itu seperti teraniaya," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kuchai dekat Bota di sini pada Jumaat.
Ismail berkata, empat kanak-kanak itu sebelum ini berada di bawah jagaan seorang wanita yang mengaku sebagai adik angkat ibu mereka di Changkat Lada, Seberang Perak.
Katanya, adik-beradik itu kemudiannya dihantar ke kediaman nenek sejak 4 November lepas tanpa sebarang dokumen pengenalan diri supaya dapat dijaga sementara oleh bapa mereka.
"Kami tidak sekejam itu menghalau mereka, sepanjang tempoh tersebut, empat beradik berkenaan dijaga dengan baik oleh ahli keluarga termasuk nenek mereka dari segi makan minum serta pakaian.
"Bila kejadian ini berlaku dan tular, sedikit sebanyak membuatkan hati nenek mereka kesal, sejak semalam kami cuba dapatkan bapa dan ibu kanak-kanak itu untuk mengetahui keadaan sebenar, tetapi sampai sekarang mereka tidak dapat dikesan," katanya.
Dia berkata, status empat beradik itu yang tidak mempunyai dokumen diri pernah dilaporkan kepada JKM dengan harapan mereka mendapat pembelaan dan penjagaan yang lebih baik.
"Bapa mereka pun bukan selalu di rumah, kadang-kadang tak balik pun, ibu mereka pula kami tak ada maklumat langsung," katanya.
Sinar Harian melaporkan, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah selepas mendakwa dihalau dari kediaman nenek di Bota.
Kejadian sekitar jam 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!