Transformasi Getah Malaysia: Melangkah masa depan dengan inisiatif strategik
BANGI – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang giat memperluas serta memperkasakan usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran getah sekali gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil.
Usaha itu ditegaskan Ketua Setiausaha KPK, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli yang mana ia melibatkan pengeluaran di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran menerusi program Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
“Program IPG ini bertujuan menjamin kebajikan pekebun kecil di samping memastikan pengeluaran getah domestik yang berterusan.
“Selain itu, turut diadakan program rintis model baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk menggalakkan pekebun kecil mengeluarkan lateks,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Hala Huju Komoditi Getah Negara’ sempena Seminar Hala Tuju Pekebun Kecil Getah Negara di sebuah hotel di sini pada Isnin anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Pada masa sama, Mad Zaidi turut memaklumkan KPK turut memperkenalkan aplikasi teknologi gas perangsang dan Sistem Torehan Intensiti Rendah (LITS) yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran.
Dengan peningkatan pengeluaran itu katanya, ia mampu mencapai sasaran KPK meningkatkan pendapatan kasar para pekebun kecil getah kepada RM2,170 sebulan menjelang tahun 2030.
Jangkaan itu katanya berdasarkan jangkaan jumlah pengeluaran getah kering dan lateks yang diperkirakan akan meningkat hingga kepada 810,00 tan metrik dan 100,000 tan pada tahun 2030.
Ketika ini katanya, pendapatan kasar bagi pekebun getah adalah sekitar RM1,188 sebulan.
Cabaran
Dalam pada itu, Mad Zaidi memberitahu KPK turut berusaha meningkatkan penyertaan golongan belia dalam sektor pengeluaran komoditi itu supaya pengeluaran getah negara lebih bersifat mampan.
“Justeru, KPK dan pelbagai pihak telah berusaha melaksanakan pelbagai strategi bagi menarik golongan muda berkecimpung dalam industri getah. Mungkin cadangan itu boleh diperhalusi dengan mewujudkan konsortium, serta gabungan syarikat-syarikat dalam industri,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) melalui konsep koperasi pekebun dan pengusaha ladang getah tempatan, Mad Zaidi memberitahu, program itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan getah.
“Selain itu, program Usahawan Bumiputera Industri Getah (UBIG) turut diwujudkan untuk meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera pada peringkat hiliran industri getah,” ujarnya.
Malah, Malaysia sendiri mencatatkan import yang lebih tinggi berbanding eksport (Perdagangan Getah Asli, 2010-2022), didasari dengan isu kekurangan pengeluaran bahan mentah tempatan, kawasan penanaman getah pekebun kecil tidak berkelompok, kebergantungan kepada pengeluaran getah SMR (Standard Malaysian Rubbber) serta penggunaan teknologi yang tidak meluas,” ujarnya.
Thailand bangunkan standard baharu penanaman, torehan getah
BANGI – Pengeluar terbesar getah dunia, Thailand kini sedang dalam proses membangunkan peraturan serta standard penanaman dan penorehan getah di negara itu.
Perkara itu dimakluman Pengarah Pusat Perkhidmatan Ujian dan Pensijilan, Pihak Berkuasa Getah Thailand, Dr Preprame Tassanakul yang mana negara itu turut dalam fasa meningkatkan pengeluaran di samping memastikan nasib para pekebun getah mereka.
Ketika membentangkan kertas kerja mengenai ‘Dasar Dan Pelaksanaan Pembangunan Getah Di Thailand’, beliau menyatakan pada tahun 2022, sebanyak 3.52 hektar ladang getah telah dituai di negara itu dengan purata hasil sebanyak 4.75 tan.
“Polisi getah asli di Thailand telah dirangka untuk jangka masa panjang iaitu dari 2017 hingga 2036. Polisi ini melibatkan beberapa kaedah dan panduan yang akan diguna pakai bagi meningkatkan pengeluaran getah Thailand.
“Sebagai contoh, untuk fasa pertama iaitu dari 2017 hingga 2021, Thailand berhasrat untuk menambah baik pengeluaran dan produktiviti getah, menstabilkan harga getah dan menyelesaikan cabaran yang muncul dalam industri getah dengan segera,” katanya dalam Seminar Hala Tuju Pekebun Kecil Getah Negara anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil (RISDA) di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai polisi getah asli negara itu, Dr Preprame menyatakan bagi fasa kedua, Thailand berhasrat mengembangkan lagi laluan pasaran eksport antarabangsa dengan mempergiatkan aspek promosi.
“Bagaimanapun, beberapa limitasi telah dikenal pasti iaitu kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan tenaga buruh, penyakit daun getah, isu pemanasan global dan ketidakstabilan harga getah selain masalah getah yang kurang kualiti,” jelasnya.
Namun katanya, negara itu berusaha mengatasi limitasi tersebut dengan memperkukuhkan institusi serta memperkasa penyelidikan dan pembangunan, teknologi serta inovasi dalam meningkatkan produktiviti getah.
Usaha itu katanya termasuklah menyediakan ladang pokok getah berskala besar dengan menggabungkan 30 pekebun di atas tanah berkeluasan tak kurang daripada 300 ekar.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan negara itu turut menyediakan latihan kepada para pekebun getah mereka bagi mencapai Amalan Pertanian Baik (GAP).
“Seramai 8,000 penoreh telah berjaya mendapat pensijilan GAP yang merangkumi kawasan seluas 17,728 hektar pada 2023 di samping meningkatkan lagi kualiti produk getah yang menepati TAS (Thai Agricultural Standards),” katanya.
PKPKM cadang empat mekanisme bantu pekebun kecil getah
BANGI - Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) mencadangkan empat mekanisme untuk dilaksanakan pemegang taruh sebagai usaha menyelesaikan isu ketidaktentuan harga getah di pasaran.
Ketua Penerangan PKPKM, Amran Jaafar berkata, cadangan mekanisme penentuan harga komoditi itu boleh dilaksanakan dengan sokongan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
Empat mekanisme itu katanya, melibatkan model penentuan harga kepada kerajaan, model peringkat domestik; penetapan harga di peringkat ASEAN menerusi Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan penetapan di peringkat antarabangsa bukan ahli ITRC antaranya China, India dan Vietnam.
“Mungkin RISDA dapat membantu empat cadangan ini dan kami (PKPKM) boleh membuat usul mekanisme tersebut dengan mengambil kira harga serta kos pengeluaran supaya industri lebih mampan dan memberi manfaat bersama kepada para pekebun kecil,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menangani isu pekebun kecil getah’ sempena Seminar Hala Tuju Pekebun Kecil Getah Negara anjuran RISDA pad Rabu.
Seminar yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 November lalu melibatkan 12 pembentangan kertas kerja merangkumi pelbagai bidang termasuk dasar dan polisi pembangunan getah, kelestarian komoditi dan komuniti getah, inisiatif ke arah kesejahteraan pekebun kecil dan potensi tanaman getah.
Dalam pada itu, Amran menjelaskan, ketika ini mekanisme penentuan harga getah hanya menggunapakai sebut harga yang disyorkan Price Advicesory Panel (PAP) dan Singapore Exchange (SGX) melibatkan pengilang, pemproses dan peniaga.
“Penentuan itu dilihat hanya mewakili pemain hiliran dan tidak mewakili para pekebun kecil. Justeru, kita melihat ada kelompangan di situ.
“Malah, harga yang ditawarkan juga berdasarkan kepada pasaran antara pengeksport dan pengguna, bukan di peringkat penjual,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan kepada kerajaan menerusi agensi yang mempunyai autoriti seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA supaya meneliti perkara tersebut selain mengambil kira cadangan struktur kos pengeluaran melibatkan kos penoreh, peralatan, racun, baja, pengangkutan, akses dan sara hidup.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan para pekebun kecil meningkatkan produktiviti masing-masing agar mampu menampung permintaan dalam negara.
“Kita tidak boleh memikirkan soal harga jualan getah sahaja, tetapi perlu berusaha untuk meningkatkan bekalan dan produktiviti,” ujar beliau.
Getah: IRRDB tingkat aktiviti R&D pengeluaran getah
BANGI - International Rubber Research and Development Board (IRRDB) telah menjalankan pelbagai kajian dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan produktiviti getah.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir yang mana R&D tersebut memfokuskan dalam aspek pemilihan benih, klon berkualiti serta strategi daya tahan terhadap penyakit sekali gus memberi manfaat besar kepada para pekebun kecil.
“R&D itu turut mencakupi strategi melawan penyakit pokok getah seperti 'akar putih', 'akar perang dan merah' serta peningkatan kaedah torehan untuk hasil yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mencorak Kemampanan Getah Asli Negara’ sempena Seminar Hala Tuju Pekebun Kecil Getah Negara anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Tambah Dr Abdul Aziz, pengenalpastian klon getah berkualiti tinggi merupakan usaha jangka masa panjang yang membantu para pekebun kecil meningkatkan produktiviti getah.
Malah, beliau turut memberikan contoh mengenai klon Michelin-CIRAD yang berhasil mengeluarkan getah berkualiti tinggi dan telah lama diadaptasi di negara ini.
Mengulas lanjut mengenai pembaikbiakan benih getah, beliau menyatakan pihaknya memberi perhatian terhadap aspek penghasilan klon-klon yang mempunyai ketahanan terhadap penyakit tertentu.
“Aspek ini adalah langkah efektif dalam meningkatkan keseluruhan produktiviti dan kebolehpercayaan hasil.
“Perhatian juga diberikan kepada bidang mekanisasi dan automasi dalam aktiviti penanaman benih, teknik torehan dan proses pemasaran. Ini adalah usaha untuk membawa sektor getah ke arah kecekapan yang lebih besar serta mampan,” ujarnya.
Reaksi:
"Kita boleh dengar dari semua pembentangan malah ada juga (maklumat) yang sebelum ini tidak sampai ke akar umbi (dikongsikan) dan dalam hal bertani, yang paling penting ialah asal usul benih. Kalau benih tidak baik, benih tak 'bersusu', kita tanam bertahun-tahun (lamanya) namun ia hanya membuang masa, membuang duit dan tenaga kerana hasil tiada.” - Datuk Nazilah Abd Latif, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pekebun Kecil Daerah Jerantut.
“Banyak maklumat ditimba dan penjelasan mengenai banyak perkara berkaitan industri dikongsi dengan peserta terlibat. Ini termasuk mengenai perubahan sistem teknologi lama kepada baharu dalam keadaan orang muda tidak berminat untuk menceburi bidang ini walaupun sebenarnya banyak teknologi sudah berubah.”- Ramli Ali, 65, peserta seminar.
“Saya akan berkongsi maklumat berguna yang diperoleh menerusi seminar ini untuk dimanfaatkan bersama rakan-rakan yang lain.”- Abdul Majid Jaafar, 57, peserta seminar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!