Dong Zong: Kolej New Era tenang, lengang
KAJANG - Suasana di hadapan Kolej New Era di sini agak lengang dan hanya dipenuhi anggota polis dan pengamal media sejak dari pagi tadi.
Tindakan polis menutup jalan dari awal dan agak jauh dari kawasan kolej dilihat berjaya menghalang orang luar masuk ke kawasan tersebut dan hanya beberapa individu dibenarkan.
Begitupun, tinjauan Sinar Harian mendapati polis menghalang sekumpulan individu mengadakan sidang media di hadapan bangunan kolej.
Tindakan itu menyebabkan mereka beralih ke lokasi lain dan mengadakan sidang media dalam jarak kira-kira 500 meter dari pintu masuk kolej tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Dong Zong: Beberapa jalan akan ditutup
Sehingga jam 11.30 pagi tadi, beberapa wakil dari badan bukan kerajaan (NGO) dilihat masih berada di kawasan berhampiran dan keadaan juga masih tenang tanpa ada sebarang provokasi daripada mana-mana pihak.
Mengikut jadual asal, dijangkakan Kolej New Era bakal dipenuhi orang ramai yang menghadiri kongres berkaitan isu tulisan jawi anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Kawasan itu juga dijangkakan terus menjadi tumpuan selepas beberapa NGO turut bercadang untuk berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap penganjuran kongres itu.
Begitupun, semalam polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak Dong Zong tidak meneruskan kongres wakil pertubuhan Cina yang akan diadakan di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis dapat perintah halang Dong Zong
Akur dengan keputusan tersebut, Dong Zong membatalkan kongres itu dan beberapa NGO yang merancang untuk berhimpun juga membatalkan hasrat mereka.
Begitupun, mereka memberi amaran akan terus memantau Dong Zong.
Sinar Harian akan terus berada di hadapan Kolej New Era bagi melaporkan suasana terkini di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!