Pemilik butik pengantin tipu pelanggan ditahan
RAUB - Seorang pemilik butik pengantin ditahan pada Isnin lalu selepas dipercayai menipu pelanggannya di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman memberitahu, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Petaling Jaya.
Menurutnya, sebelum ini, satu laporan telah diterima daripada seorang wanita pada 14 November yang mendakwa telah berurusan dengan suspek bagi menguruskan majlis perkahwinan pengadu yang telah berlangsung pada 12 November lalu.
"Walau bagaimanapun, pihak pemilik butik tersebut tidak hadir dan menguruskan majlis yang telah dirancang mengakibatkan kerugian sebanyak RM18,999.
"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan lanjut terhadap suspek mendapati lelaki itu mengaku mengambil wang daripada pengadu bagi tujuan menguruskan majlis perkahwinan pengadu pada 12 November lalu tetapi tidak menguruskannya sepertimana perjanjian," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, suspek juga mengaku terlibat dengan 11 laporan polis yang lain.
Jelas Mohd Shahril lagi, lelaki itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Raub pada Jumaat dan mengaku bersalah atas lima pertuduhan kerana menipu.
"Tertuduh telah dikenakan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
"Hukuman dijalankan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap," ujar beliau.
Dalam pada itu, Mohd Shahril menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam membuat pilihan perunding bagi menguruskan sesuatu majlis dengan membuat semakan latar belakang dan tidak menyerahkan wang dengan sewenang-wenangnya agar tidak menjadi mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!