Malaysia tuan rumah Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2024

Shahidan pada sidang media selepas hadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia 2023 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Shahidan pada sidang media selepas hadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia 2023 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara pada tahun depan selepas giliran penganjuran itu pada tahun ini diserahkan kepada Thailand.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan itu yang akan berlangsung pada 7 hingga 10 Disember ini, namun terpaksa menolaknya susulan berdepan kekangan bagi menyediakan venue bersesuaian.

"Kita menghadapi masalah pada tahun ini apabila tidak ada stadium yang boleh digunakan untuk penganjuran kejohanan tersebut.

"Stadium di peringkat negeri yang kita harapkan semuanya di peringkat pembinaan kecuali stadium di Pahang, yang pada masa tersebut masih belum mendapat sijil penggunaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya akan menghantar 44 atlet membabitkan 25 lelaki dan 19 wanita bagi menyertai kejohanan di Bangkok.

Menurutnya, pemilihan kesemua atlet tersebut telah dibuat pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia yang berlangsung pada 15 hingga 19 Oktober lepas.

"Ini bukanlah isu kerana kita dah hantar satu pasukan atlet yang besar untuk bertanding dan bila tahun depan sudah pasti hampir semua stadium sudah bersedia.

"Kalau tak dapat dibuat di Kuala Lumpur, kita akan buat di negeri-negeri dan antara negeri yang bersedia adalah Sarawak, Sabah dan lain-lain jadi tahun hadapan tiada masalah untuk dianjurkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama berkata, KOM sedang mempergiat usaha membentuk semula program pembangunan bagi mendapatkan bakat baharu selain melahirkan lebih ramai atlet muda berpotensi sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!