Presiden Cuba berarak tanda sokong Palestin

Díaz-Canel (tengah) turut diiringi isterinya,Lis Cuesta ketika menyertai perarakan pro-Palestin di Havana pada Khamis. - Foto: Agensi
Díaz-Canel (tengah) turut diiringi isterinya,Lis Cuesta ketika menyertai perarakan pro-Palestin di Havana pada Khamis. - Foto: Agensi
A
A
A

HAVANA - Ribuan peserta protes diketuai Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel berarak di sepanjang laluan ikonik di ibu kota pada Khamis sebagai simbol solidariti dengan penduduk Palestin.

Kumpulan demonstrasi itu turut memakai keffiyeh yang sinonim dengan Palestin ketika melaungkan slogan menuntut supaya peperangan antara Hamas dan rejim Zionis ditamatkan segera.

Perarakan sejauh dua kilometer dan melalui jalan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) itu menyaksikan Diaz-Canel diiringi pemimpin utama lain termasuk Perdana Menteri, Manuel Marrero dan Menteri Luar, Bruno Rodriguez.

Ia juga disertai penuntut perubatan Palestin yang melanjutkan pengajian di negara Caribbean tersebut.

"Hari ini, kami menyokong penduduk Palestin dan bersama-sama merasai penderitaan dialami mereka kerana kehilangan orang tersayang akibat kempen pengeboman kejam rejim Zionis. Kami gesa gencatan senjata dan bebaskan Palestin," kata pakar budaya fizikal, Yanquiel Cardoso yang menyertai protes itu.

Kebanyakan peserta juga membawa poster dan gambar memaparkan kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel.

Difahamkan, ia adalah demonstrasi solidariti kedua disertai pemimpin utama Cubas sejak peperangan itu bermula tujuh minggu lalu.

Pada minggu lalu, bendera kebangsaan Palestin dikibarkan pada monumen Jose Marti, simbol paling ikonik di ibu kota. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!