Satu soalan besar, mana ‘scammer’ dapat nombor kita?
SHAH ALAM - Lebih 72 peratus daripada 8,200 pembaca Sinar Harian berpendapat kelemahan perundangan Malaysia menyebabkan kegiatan Macau Scam melibatkan kewangan dilihat semakin rancak sejak akhir-akhir ini.
Menerusi undian yang dijalankan laman Facebook Sinar Harian hari ini, 28 peratus pembaca pula berpendapat kegiatan tersebut semakin berleluasa kerana kelemahan perbankan.
Kebanyakan netizen bersetuju kelemahan perundangan merupakan faktor utama malah turut mempersoalkan dari mana ‘scammer’ mendapatkan nombor telefon mereka.
“Satu soalan besar, mana diorang dapat nombor kita? Soalan kedua, kalau diorang dapat nombor kita dari bank, boleh tak kita failkan tribunal atas nama Akta Perlindungan Data Peribadi?
“Maaf, saya bukan 'lawyer' tapi dapat lihat Malaysia ni macam syurga scammer,” tulis Wan Muznie.
Mohamad Razi Isa pula merasakan pelaku jenayah tersebut bijak memperdayakan mangsanya.
“Kadang-kadang saya jadi pelik jenayah bunuh, rogol, samun atau jenayah lain selalunya suspek berjaya ditangkap tidak sampai 24 jam. Hebatkan polis kita?? Tapi kenapa scammer ni susah sangat nak selesai malah ada saja kes-kes baru membabitkan scam ini.
“Pada pendapat saya ada dua yang kita kena tahu. Pertama,mereka ini bijak memperdaya, kedua, orang kita masih ramai yang tahu tapi buat-buat tidak tahu,” tulisnya.
Fendi Ideris berkata, “Kelemahan sistem, kelemahan orang yang menjalankan sistem, kelemahan kuat kuasa, tak ambil contoh negara luar yang berjaya menangani isu ini. Terlalu bagi muka, tingkatkan hukuman terhadap pesalah yang bertujuan mencegah."
Kegiatan Macau Scam atau jenayah penipuan melibatkan kewangan dilihat semakin rancak apabila mereka kini tidak labu menyasarkan golongan 'biasa-biasa' seperti suri rumah sebagai mangsa.
Bahkan mereka kini semakin aktif menjadikan golongan profesional dan berpelajaran tinggi sebagai sasaran utama mereka.
Golongan tersebut seolah-olah menjadi sasaran mudah buat mereka walaupun dikategorikan sebagai individu yang pastinya lebih arif tentang maklumat penipuan seperti itu tetapi masih boleh terpedaya dan percaya bulat-bulat tanpa usul periksa.
Kegiatan tersebut menyebabkan ramai individu kehilangan wang sehingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit dan jika dicampurkan jumlah kerugian semua mangsa, ia mungkin mencecah jutaan ringgit.
Untuk rekod, pada tahun ini sahaja sebanyak 4,287 kes dilaporkan sehingga 10 November lalu dengan kerugian yang dicatatkan ialah sebanyak RM57.2 juta.
Pada tahun lalu, sebanyak 4,172 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM35.9 juta.
Meskipun kerap kali dilaporkan media dan pelbagai peringatan disuarakan namun masih ramai yang menjadi mangsa Macau Scam.
Sehubungan itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi menangi masalah scammer yang semakin berleluasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Profesional, berpelajaran tinggi sasaran utama
Scam: FB, IG lubuk kumpul data mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!